11 PATI berhimpit dalam Proton Wira - Utusan Malaysia

11 PATI berhimpit dalam Proton Wira

11 PATI warga Myanmar berhimpit dalam sebuah kereta Proton Wira menuju ke Pulau Pinang sebelum mereka ditahan di Kilometer 33, Lebuhraya PLUS di Jitra, Kubang Pasu.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUBANG PASU: Kesanggupan 11 pendatang asing tanpa izin (PATI) warga Myanmar berhimpit dalam sebuah kereta untuk masuk ke negara ini berakhir sia-sia apabila mereka ditahan di Kilometer 33, Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) arah Selatan di Jitra, dekat sini pagi ini.

Ketua Polis Daerah Kubang Pasu, Suprintenden Rodzi Abu Hassan berkata, kesemua PATI itu ditahan bersama seorang tekong yang juga warga Myanmar berusia 44 tahun dan memegang kad Suruhanjaya Tinggi Bangsa-Bangsa Bersatu Untuk Pelarian (UNHCR).

Menurutnya, tekong tersebut bertindak sebagai pemandu kereta jenis Proton Wira yang dipinjamnya daripada seorang lelaki tempatan di Butterworth, Pulau Pinang.

“11 PATI tersebut terdiri daripada dua wanita dan sembilan lelaki berusia antara 19 hingga 37 tahun dipercayai masuk ke negara ini kira-kira pukul 7 petang semalam dari Thailand dengan dipandu arah oleh dua lelaki warganegara jiran itu.

“Selepas melepasi sempadan Malaysia di Bukit Kayu Hitam, dua ejen berkenaan berpatah balik ke Thailand manakala 11 PATI tersebut diambil oleh tekong berkenaan untuk dihantar ke Butterworth.

“Kenderaan itu dijejaki polis menyebabkan mereka ditahan kira-kira pukul 3.30 pagi. Hanya tekong tersebut yang boleh berbahasa Melayu dan dia mendakwa disuruh mengambil PATI tersebut oleh kawannya yang juga warga Myanmar,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia, hari ini.

Difahamkan kesemua PATI tersebut membayar sebanyak kira-kira RM3,000 kepada seorang lelaki warganegara Myanmar di negara itu yang bertindak sebagai ejen bagi memasuki negara ini.  

Katanya, tekong tersebut yang bekerja sebagai buruh binaan di Pulau Pinang mendakwa dia dijanjikan upah sebanyak RM500 untuk melaksanakan tugas tersebut.

“Namun dia mendakwa masih belum dibayar untuk berbuat demikian. Pihak polis kemudiannya merampas kenderaan tersebut serta sebuah telefon bimbit untuk melakukan siasatan,” katanya.

Menurutnya kes tersebut disiasat mengikut Seksyen 26A Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran (ATIPSOM) 2007 (Akta 670) serta Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/1963. –UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya