10,000 dijangka hadir Rumah Terbuka Tahun Baharu Cina Selangor - Utusan Malaysia

10,000 dijangka hadir Rumah Terbuka Tahun Baharu Cina Selangor

Rumah terbuka
TENG Chang Khim menunjukkan pelan lokasi Sambutan Rumah Terbuka Tahun Baharu Cina peringkat Negeri Selangor 2023 dalam sidang akhbar di Shah Alam, Selangor, hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM: Selangor jangka kehadiran sehingga 10,000 pengunjung pada Rumah Terbuka Tahun Baharu Cina peringkat negeri pada 28 Januari ini selepas tiga tahun sambutan tersebut sekadar diadakan secara dalam talian akibat pandemik Covid-19.

Malah, untuk menarik lebih ramai pengunjung, pelbagai aktiviti dan persembahan kebudayaan akan dipertontonkan di samping pemberian ‘ang pau’ serta cabutan bertuah masing-masing bernilai keseluruhan RM10,000 dan RM3,000 melalui aplikasi e-dompet, Wavpay.

Pengerusi Jawatankuasa Tetap Industri dan Perdagangan, Datuk Teng Chang Khim, berkata, rumah terbuka akan bermula pada pukul 3.30 petang hingga 10.30 malam yang turut bakal menerima keberangkatan Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah; Permaisuri Selangor Tengku Norashikin dan Raja Muda Selangor Tengku Amir Shah.

“Program bertemakan ‘Musim Bunga Kembali ke Khatulistiwa’ itu turut menampilkan persembahan kebudayaan melibatkan 120 artis termasuk penyanyi bersuara soprano Evelyn Toh bermula 7 malam.

“Persembahan ini dianjurkan di Auditorium Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) dan hanya melibatkan kira-kira 1,200 tetamu jemputan. Bagaimanapun kita menyediakan layar di dataran untuk menghiburkan tetamu awam,” katanya dalam sidang akhbar, hari ini.

Beliau menambah, pengunjung juga boleh menyaksikan pelbagai acara menarik antaranya persembahan tarian singa, opera tradisi, wayang kulit, pertandingan kaligrafi selain kemudahan gerai jualan disediakan dekat tapak penganjuran di Auditorium MBSA dan Dataran Kemerdekaan Shah Alam.

Dalam pada itu, beliau turut memaklumkan kemudahan disediakan seperti perkhidmatan Bas Smart Selangor yang dikhaskan pada laluan SA01 dan SA02 serta tempat letak kereta di sebelah Menara Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS) dan Menara Maybank.

“Tetamu juga boleh menggunakan tapak parkir kenderaan berbayar di pusat beli belah SACC, Plaza Alam Sentral, bangunan Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) dan bersebelahan Menara Maybank ,” ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya