10 perjalanan feri dari Kuala Kedah sempena Tahun Baharu Cina

10 perjalanan feri dari Kuala Kedah sempena Tahun Baharu Cina

OPERASI feri penumpang Kuala Kedah-Langkawi dijangka ditambah menjelang Tahun Baharu Cina setelah kerja pengerukan alur pelayaran siap sepenuhnya pada hujung tahun lalu.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

LANGKAWI: Pihak operator feri penumpang yang menghubungkan pulau ini ke tanah besar dijangka menambah sehingga 10 perjalanan feri sehari bagi laluan Kuala Kedah-Langkawi menjelang sambutan Tahun Baharu Cina nanti.

Kerja-kerja pengerukan alur pelayaran feri bagi laluan tersebut yang siap sepenuhnya pada hujung tahun lalu menjadikan masa untuk feri berlabuh menjadi lebih panjang dan tidak perlu bergantung kepada paras air laut.

Penolong Pengurus Operasi Konsortium Ferry Line Ventures Sdn. Bhd., Norhafiz Abdul Wahid berkata, pihaknya akan menyiapkan semua kerja penyelenggaraan dan pembaikan feri sedia ada seawal minggu ini.

“Konsortium telah bersedia untuk melakukan 10 perjalanan feri sehari. Sebanyak 10 buah feri sudah bersedia dan kembali beroperasi dan ditambah lima buah feri yang sedang dibuat penyelenggaraan sejak minggu lepas.

“Menjelang minggu ini, semua feri tersebut akan kembali beroperasi menjadikan jumlah keseluruhan feri boleh beroperasi sebanyak 15 buah,” katanya selepas Sesi Perjumpaan Pemain Industri Pelancongan Langkawi di Kompleks Lembaga Pembangunan Langkawi (LADA), hari ini.

Sementara itu, Pengarah Jabatan Laut Malaysia (JLM) Wilayah Utara, Mohd. Hafiz Abdul Majid berkata, pihaknya telah mengambil inisiatif untuk melakukan pemeriksaan berkala terhadap feri yang beroperasi bagi memastikan keselamatan penumpang yang menggunakannya.

MOHD. HAFIZ ABDUL MAJID

“Tujuh hari sebelum Tahun Baharu Cina, kita tengah atur pemeriksaan Kawalan Negara Bendera (Flag State Control), di mana kita semak semula feri-feri yang memohon untuk memberi perkhidmatan menjelang Tahun Baharu Cina ini.

“Kita juga akan menyemak semula pengoperasian dan sea worthiness atau layak belayar sesebuah feri tersebut,” katanya.

Bagaimanapun, beliau menyatakan tiada jaminan 100 peratus bahawa tiada kerosakan yang akan berlaku dan pihak JLM mengambil langkah pencegahan bagi mengurangkan risiko kerosakan yang akan memberi kesan kepada penumpang.

Selain itu, beliau berkata, kerja-kerja pengerukan bagi alur pelayaran Kuala Perlis dijangka hanya akan siap pada 23 Mei nanti, sejurus sebelum penganjuran Pameran Antarabangsa Maritim dan Aeroangkasa Langkawi 2023 (LIMA ’23).

Namun begitu, pihaknya sedang menilai proses pengerukan tersebut bagi membolehkan pengerukan itu disiapkan lebih awal atau selewat-lewatnya pada 30 April. –UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya