ZPP agih saguhati RM600 kepada 4,394 penerima zakat - Utusan Malaysia

ZPP agih saguhati RM600 kepada 4,394 penerima zakat

AHMAD ZAKIYUDDIN ABDUL RAHMAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BUKIT MERTAJAM: Seramai 4,394 penerima manfaat Skim Agihan Kewangan Bulanan dan Skim Agihan Makanan Bulanan Zakat Pulau Pinang (ZPP) dijangka menerima agihan Saguhati Khas Akhir Tahun (SKAT) 2022 secara sekali gus atau ‘one-off’ sebanyak RM600 seorang.

Timbalan Ketua Menteri I yang juga Yang Dipertua Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang (MAINPP), Datuk Ahmad Zakiyuddin Abdul Rahman berkata, jumlah agihan keseluruhan sebanyak RM2,636,400 itu akan dipindahkan terus ke dalam akaun penerima sebelum Januari tahun depan.

“Pemberian SKAT 2022 ini sedikit sebanyak diharap dapat memberi kelegaan dan mengukir senyuman kepada penerima manfaat serta keluarga seterusnya membantu dalam menampung perbelanjaan hujung tahun 2022 ini.

“Dalam hal ini, ZPP juga akan mengumumkan beberapa penambahbaikan kadar agihan zakat untuk beberapa skim pada awal tahun depan bagi memastikan kelangsungan hidup golongan asnaf khasnya fakir miskin di Pulau Pinang dalam menghadapi situasi ekonomi tidak menentu menjelang tahun
2023,” katanya dalam kenyataan, di sini hari ini.

Dalam pada itu, beliau berharap pihak yang masih belum melaksanakan kewajipan berzakat pada tahun ini supaya segera berbuat demikian sebelum menjelang tahun baharu.

Katanya, ketika ini, tanggungjawab berkenaan boleh ditunaikan melalui pelbagai saluran dan kaedah pembayaran seperti yang diuar-uarkan di semua platform media sosial ZPP.

“Semoga usaha yang dilakukan oleh ZPP sepanjang tahun ini dan tahun-tahun mendatang akan beroleh keberkatan di sisi Allah SWT,” katanya yang berterima kasih kepada para pembayar zakat atau muzakki yang banyak menyokong dan mendokong usaha ZPP dalam menyantuni golongan asnaf di Pulau Pinang. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya