Zambry rai hari terakhir tugas Setiausaha Agung ASEAN di Jakarta

Zambry rai hari terakhir tugas Setiausaha Agung ASEAN di Jakarta

ZAMBRY Abdul Kadir bersalaman dengan Lim Jock Hoi di Sekretariat ASEAN ketika dalam lawatan rasmi ke Indonesia yang berakhir hari ini. - GAMBAR IHSAN WISMA PUTRA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Menteri Luar, Datuk Seri Dr. Zambry Abdul Kadir teruja dapat bertemu terus dengan Setiausaha Agung ASEAN, Datuk Lim Jock Hoi di Jakarta, Indonesia pada hari ini.

Menerusi hantaran Wisma Putra dalam laman sosial rasminya, perjumpaan berlangsung di Bangunan Sekretariat ASEAN, di Jalan Sisingamangaraja, Kebayoran, Jakarta Selatan.

“Beliau berkesempatan mengadakan sesi pertemuan ringkas dan kebetulannya pula penyandang itu akan menamatkan tugas secara rasmi pada 31 Disember ini,” katanya.

Jock Hoi, 71, dari Brunei, dilantik sebagai Setiausaha Agung ASEAN ke-14 bermula pada 1 Januari 2018 menggantikan Le Luong Minh dari Vietnam yang berkhidmat sejak 2013.

Sebelum itu, beliau yang merupakan etnik Cina tempatan di negaranya pernah bertugas sebagai Setiausaha Tetap Kementerian Hal Ehwal Luar Negeri dan Perdagangan Brunei.

Beliau turut menjadi warga Brunei yang kedua dipilih menyandang jawatan ketua eksekutif tertinggi blok rantau Asia Tenggara itu selepas Roderick Yong dari 1986 sehingga 1989.

Tempat beliau selepas ini pula akan diambil alih buat julung kali oleh wakil yang pertama daripada Kemboja, Kao Kim Hourn bermula 1 Januari depan sehingga 31 Disember 2027.

Pemilihan itu diputuskan ketika sesi Pemukiman Menteri-menteri Luar ASEAN di Phnom Penh pada 4 Ogos lalu dan melakar sejarah Kemboja sejak menyertai blok ini pada 1999.

Mengulas lanjut, Zambry sebagai mewakili kerajaan Malaysia merakamkan penghargaan kepada Jock Hoi atas kepimpinan dan sumbangannya dalam memperkukuhkan ASEAN.

Jawatan Setiausaha Agung ASEAN ditetapkan mengikut giliran berdasarkan huruf rumi pertama setiap 10 negara anggota tetapi belum ada ketika blok ini diwujudkan pada 1967.

Ia sebaliknya mula diperkenalkan secara rasmi pada 1976 lalu dengan Hartono Rekso Dharsono dari Indonesia dipilih sebagai penyandang sulungnya selama tempoh tiga tahun.

Bagaimanapun, bermula 1 Januari 1993, jawatan ini dipegang selama lima tahun dengan Datuk Ajit Singh dari Malaysia menjadi penyandang pertama menikmati had baharu itu.

Beliau turut muncul sebagai warga Malaysia yang kedua pernah mengisi jawatan utama berkenaan selepas kali pertama dipegang Datuk Ali Abdullah dari 1978 sehingga 1980. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya