PUTRAJAYA: Nasib Rang Undang-Undang (RUU) Kawalan Produk Tembakau dan Merokok 2022 yang belum diluluskan di Parlimen setakat ini kemungkinan besar akan dipertimbangkan semula.
Malah, RUU dikenali sebagai Dasar Generasi Penamat (GEG) itu yang tidak sempat untuk bacaan kali ketiga pertengahan Oktober lalu susulan pembubaran Parlimen, mungkin juga boleh ditolak.
Perkara ini ditegaskan Menteri Kesihatan, Dr. Zaliha Mustafa ketika ditanya pemberita mengenai sama ada mahu meneruskan pelbagai dasar digubal kementerian itu oleh menteri sebelumnya.
“Seperti kelaziman sebagai menteri baharu, saya akan melihat sebarang polisi lama yang mungkin boleh diterima pakai, diperbaiki balik atau pun ditolak terus,” katanya dalam sidang akhbar di sini selepas memulakan tugas rasmi di Kementerian Kesihatan, hari ini.
Zaliha menggantikan Khairy Jamaluddin yang memperkenalkan RUU berkenaan bagi melahirkan GEG bebas rokok dengan Malaysia kedua di dunia selepas New Zealand menjelang 2025.
Dasar baharu itu akan melindungi individu yang lahir selepas 2007 lalu dan ke atas menjadi generasi pertama tidak merokok selain mengawal selia industri vape yang amat bebas pada ketika ini.
Mengulas lebih lanjut, Zaliha berkata, beliau amat terbuka dalam menerima segala pandangan baik daripada pelbagai pihak berkepentingan termasuk Khairy Jamaluddin sendiri pada bila-bila masa.
“Saya begitu terbuka dengan apa-apa cadangan namun saya juga akan melihat kembali segala polisi yang lama untuk boleh ditambah baik lagi demi kepentingan masyarakat negara ini,” tegas beliau.
Pada masa sama, beliau memberi jaminan bahawa setiap penggubalan dasar oleh kementerian tersebut akan tetap mengambil kira apa yang terbaik untuk rakyat tanpa meminggirkan nasib mereka.
Tambahan pula ujar beliau, kementerian itu sentiasa menjadi perhatian masyarakat kerana isu kesihatan awam memang memberi kesan besar kepada kehidupan harian pasca pandemik Covid-19. – UTUSAN