YPKDT bantu 177 OKU dapat pekerjaan - Khairin Nisa

YPKDT bantu 177 OKU dapat pekerjaan – Khairin Nisa

Khairin Nisa Ismail menjawab soalan Amira Aisya Abd. Aziz (Muda-Puteri Wangsa) dalam Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor di Kota Iskandar, hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ISKANDAR PUTERI: Kerajaan negeri menerusi Yayasan Pembangunan Keluarga Darul Ta’zim (YPKDT) membantu seramai 177 orang kurang upaya (OKU) mendapatkan pekerjaan dalam sektor awam dan swasta sejak awal tahun hingga Oktober lalu. 

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat negeri, Khairin Nisa Ismail berkata, YPKDT memainkan peranan penting dengan memperkenalkan inisiatif program menjana pendapatan kepada OKU.

Seramai 45 OKU di negeri ini juga menerima bantuan peralatan perniagaan dan berjaya menghasilkan pendapatan sendiri, terutamanya perniagaan kecil sejak 2017.

“Dengan kepesatan ekonomi dan peningkatan kos sara hidup yang tinggi, YPKDT telah memperkenalkan inisiatif program menjana pendapatan sendiri kepada OKU. 

“Ia bagi memastikan OKU yang berdaftar di negeri ini tidak diabaikan dan dapat ditempatkan bekerja di sektor terbuka, seterusnya mendapat sumber pendapatan.

“Antara inisiatif dan kursus yang dilaksanakan bagi meningkatkan kemahiran golongan OKU negeri ini ialah ‘housekeeping’, baik pulih komputer, gajet selain urutan dan spa,” katanya menjawab soalan Amira Aisya Abd. Aziz (Muda-Puteri Wangsa) dalam Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor di Kota Iskandar, hari ini. 

Bilangan OKU yang berdaftar dengan YPKDT bertambah kepada seramai 997 OKU sejak 2011 hingga Oktober lalu.

Khairin Nisa yang juga Ahli Dewan Undangan (ADUN) Serom berkata, ketika negara berdepan pandemik Covid-19, Program Latihan dan Promosi (PLP) bagi melatih golongan OKU tetap diteruskan secara dalam talian membabitkan seramai 49 peserta. 

“Untuk tahun ini pula, Program Bangkit OKU telah diperkenalkan di Johor dengan seramai 85 OKU di negeri ini telah mengikuti kursus yang dijalankan.

“Inisiatif ini dilaksanakan khususnya bagi memperkasakan OKU bagi tujuan penempatan pekerjaan dan menjana pendapatan,” katanya. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya