PETALING JAYA: Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Riayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan berangkat ke Doha, Qatar bagi mengadakan lawatan khas selama enam hari bermula hari ini.
Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara, Datuk Seri Ahmad Fadil Shamsuddin memaklumkan, lawatan khas itu adalah atas undangan peribadi Emir Qatar, Sheikh Tamim Hamad Al Thani sempena Piala Dunia Qatar 2022.
Katanya, persilaan peribadi itu telah dipersembahkan oleh Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Luar Qatar, Sheikh Mohammed Abdulrahman Al-Thani semasa sesi menghadap di Istana Negara pada 12 Ogos 2022.
“Selain persilaan menyaksikan perlawanan-perlawanan separuh akhir dan perlawanan akhir temasya ke-22 Piala Dunia itu, Seri Paduka turut dijadual melakukan kunjungan hormat dan pertemuan dengan Sheikh Tamim,” katanya dalam kenyataan.
Seri Paduka turut dijadualkan menerima menghadap beberapa pemimpin kerajaan Qatar dan berangkat menghadiri majlis santapan bersama rakyat Malaysia di Qatar dalam rangka lawatan khas ini.
Seri Paduka merupakan Anggota Jawatankuasa Eksekutif FIFA dari tahun 2015 hingga 2019.
Susulan daripada pemilihan sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-16 pada awal 2019, baginda telah berkenan melepaskan jawatan tersebut selaras dengan Perkara 34(2), 32(3) dan 32(4) Perlembagaan Persekutuan.
Seri Paduka dijadual berangkat tiba di tanah air pada 19 Disember 2022. – UTUSAN