Yadim peruntukkan RM50,000 bantu mangsa banjir - Utusan Malaysia

Yadim peruntukkan RM50,000 bantu mangsa banjir

TUAN Kamarul Arief Tuan Soh (kiri) menyampaikan bantuan kepada seorang mangsa banjir OKU di Kuala Nerus, Terengganu, hari ini. - UTUSAN/TENGKU DANISH BAHRI TENGKU YUSOFF
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA NERUS: Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (Yadim) memperuntukkan RM50,000 dalam menjayakan misi fasa awal bantuan mangsa banjir di Terengganu dan Kelantan, sejak Khamis lalu.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutifnya, Tuan Kamarul Arief Tuan Soh, misi itu meliputi agihan pek makanan, ibadat dan keperluan peribadi, selain gotong-royong disertai lebih 150 sukarelawan Yadim.

Beliau memberitahu, Yadim mengambil inisiatif itu bagi meringankan beban dan berkongsi keperitan dialami mangsa banjir meskipun tidak dapat menyantuni kesemua kawasan yang terjejas.

“Seperti yang sudah diumumkan, Yadim ada RM250,000 hasil sumbangan orang ramai dan badan korporat. Cuma bagi misi empat hari ke Pantai Timur ini, kami sediakan lebih RM50,000 dahulu.

“Selain menyalurkan bantuan makanan dan keperluan peribadi, Yadim turut menyediakan sedikit sumbangan tunai kepada mangsa banjir orang kelainan upaya (OKU) dan sakit terlantar.

“Yadim akan terus bekerjasama dengan badan bukan kerajaan (NGO) yang lain bagi membantu mangsa yang trauma dengan musibah ini kerana mereka sangat memerlukan bantuan,” katanya selepas misi bantuan Yadim di Sekolah Kebangsaan (SK) Kompleks Gong Badak di sini, hari ini.

Tuan Kamarul Arief turut menjelaskan, pihaknya akan terus menyusun gerak kerja terutama dalam fasa pemulihan dengan melibatkan 10,000 sukarelawan di seluruh negara.

“Berdasarkan pengalaman lepas, apa yang paling mustahak adalah bagaimana mangsa banjir mahu bangkit menjalani kehidupan selepas ini dari segi emosi dan sebagainya.

“Jadi itu yang akan menjadi perhatian kami bersama NGO lain yang cuba membantu kerajaan negeri dalam memainkan peranan mengurangkan keperitan mangsa,” jelasnya. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya