Wujud permit khas perkhemahan, buat kajian EIA - Utusan Malaysia

Wujud permit khas perkhemahan, buat kajian EIA

ANGKATAN Tentera Malaysia (ATM) menelusuri kawasan aliran Sungai Kedondong bagi operasi mencari dan menyelamat (SAR) mangsa yang memasuki hari ketujuh di lokasi tragedi tanah runtuh di tapak perkhemahan Father's Organic Farm (FoF), Batang Kali. - UTUSAN/FARIZ RUSADIO
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Pihak berkuasa tempatan perlu mengambil iktibar tragedi di Batang Kali dengan mewujudkan permit khas kepada pengusaha tapak perkhemahan di negara ini.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Ketua Kluster Alam Sekitar dan Kelestarian, Akademi Profesor Malaysia (APM), Prof. Emeritus Datuk Dr. Ibrahim Komoo berkata, selain permit, pihak berkuasa juga perlu melakukan Laporan Penilaian Impak Alam Sekitar (EIA) di samping kajian keselamatan tapak.

Menurut beliau, langkah itu penting kerana aktiviti perniagaan berkenaan itu semakin popular dan melibatkan orang ramai yang setengahnya mungkin membuka di kawasan berisiko.

“Dahulu kawasan perkhemahan dibuka oleh jabatan hutan atau agensi kerajaan, namun kini aktiviti itu sudah menjadi bentuk perniagaan oleh pihak persendirian apabila banyak tempat-tempat yang dibuka.

“Pada pandangan saya, PBT perlu mengambil langkah proaktif dan melihat keperluan untuk mempunyai lesen khas perkhemahan agra tragedi sama tidak berulang,” katanya di sini semalam.

Tapak perkhemahan Father’s Organic Farm didakwa beroperasi secara haram dan hanya memiliki kebenaran merancang untuk aktiviti pertanian organik yang diluluskan Majlis Perbandaran Hulu Selangor (MPHS) pada 2019.

Bagaimanapun, jurucakap tapak itu, Frankie Tan berkata, pihaknya tidak dapat membuat permohonan permit perkhemahan kerana tiada sebarang lesen khusus dikeluarkan PBT.

Frankie sekali gus menafikan kejadian tanah runtuh yang mengorbankan 26 nyawa Jumaat lalu, berpunca di tapak perkhemahan mereka, sebaliknya berlaku di tanah milik kerajaan yang jaraknya kira-kira dua kilometer.

Dalam tragedi pukul 2.42 pagi itu, berlaku runtuhan tanah sepanjang hampir 300 meter dan setinggi 70 meter di tapak perkhemahan yang terletak di Jalan Batang Kali, Genting Highlands itu.

Sementara itu, MPHS dilaporkan mengakui tiada lesen khusus bagi kegiatan perkhemahan dikeluarkan di Selangor.

Perkara sama turut dijelaskan Kerajaan Negeri Selangor berhubung tiada peruntukan khas dalam undang-undang atau syarat khusus bagi pengusaha-pengusaha tapak perkhemahan di negeri itu untuk menjalankan aktiviti rekreasi tersebut.

Pengerusi Jawatankuasa Tetap Kerajaan Tempatan, Pengangkutan Awam dan Pembangunan Kampung Barunya, Ng Sze Han berkata, pihak MPHS akan memanggil pengusaha Father’s Organic Farm dan tapak perkhemahan lain bagi menerangkan garis panduan penganjuran aktiviti perkhemahan yang selamat.

Menurutnya, kerajaan negeri akan mengadakan bancian terhadap pengusaha-pengusaha tapak perkhemahan bagi memeriksa sama ada mereka mempunyai lesen perniagaan atau tidak. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya