Waspada telur ayam kampung palsu

Waspada telur ayam kampung palsu

DR. AZHAR KASSIM
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SERDANG: Pengguna diminta berwaspada dengan taktik pengeluar telur ayam tidak ber­tanggungjawab yang melabelkan telur ayam biasa sebagai telur ayam kampung dan juga telur ayam premium.

Mereka ini didapati mengaut keuntungan ‘atas angin’ dengan menukar label pada bungkusan telur ayam biasa sebagai telur ayam kampung dan premium untuk mengelirukan pembeli.

Pakar industri ternakan ayam, Prof Madya Dr. Azhar Kasim mendakwa, kegiatan itu dikesan berlaku secara berleluasa termasuk dijual di pasar-pasar raya.

Katanya, penukaran jenis telur ayam biasa kepada telur ayam kampung dan premium itu adalah semata-mata untuk mendapatkan harga jualan yang lebih tinggi berbanding telur ayam biasa.

“Tidak ada ‘standard’ rasmi Malaysia bagi telur ayam kampung dan premium. Letaklah apa-apa jenama, maka secara automatik terlepas daripada kawalan harga siling.

“Telur gred A yang sepatutnya dijual dengan harga tidak melebihi 45 sen sebiji, dijual dengan harga 70 sen sebiji hanya dengan meletakkan perkataan healthy eggs,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia kelmarin.

Azhar turut menasihatkan orang ramai supaya memastikan kandungan Omega 3 melebihi 100 miligram jika telur itu dikategorikan sebagai telur omega.

Beliau yang juga bekas pensyarah Sains Haiwan, Fakulti Pertanian, Universiti Putra Malaysia (UPM) berkata, terdapat juga peniaga yang melabelkan ayam daging berwarna (color broiler) sebagai ayam kampung asli di pasaran untuk mengelirukan pengguna.

Menurutnya, kegiatan itu demi mendapatkan keuntu­ngan berikutan harga ayam kampung asli yang lebih tinggi berbanding harga ayam segar biasa, iaitu lebih kurang RM18 sekilogram bagi ayam kampung asli manakala, RM12 sekilogram bagi ayam daging warna.

“Ayam daging warna adalah seratus peratus import. Tidak boleh diiktiraf sebagai ayam kampung kerana di luar negara seperti Eropah, tidak ada ayam hutan dan tidak mempunyai darah ayam kampung.

“Bagaimanapun, kita tidak boleh salahkan peniaga dan penternak sahaja kerana Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) yang melakukan penyelidikan sendiri, mengiktiraf ayam daging warna sebagai ayam kampung dan popular sebagai sebagai ayam kampung kacukan,” katanya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN