JASIN: Waris kemalangan maut membabitkan empat sekeluarga di Jalan Kolam, Machap, Alor Gajah dekat sini menerima hibah berjumlah lebih RM212,000 daripada Takaful Ikhlas Family Berhad.
Muhammad Izwan Ibrahim, 30, berkata, hibah yang diterima itu adalah daripada bahagian arwah isterinya, Syazana Tharin, 30, sebagai pemegang polisi yang mula mencarum takaful sejak setahun lalu.
Menurutnya, Syazana ada mencadangkan agar mereka mengambil takaful sebagai persediaan kewangan kepada waris jika berlaku sesuatu, namun tidak menyangka dia yang akan pergi dahulu.
“Alhamdulillah, ketika sedang bersedih saya dan penama lain mendapat sejumlah wang yang agak besar sebagai bantuan kewangan. Selain abang ipar, dua anak saya iaitu Yusuf Daniel Muhammad Izwan dan Aniq Fahim Muhammad Izwan turut menerima hibah.
“Sebagai pemegang amanah, bahagian saya dan Yusuf Daniel akan diberikan kepada Aniq Fahim kerana abangnya telah meninggal dunia. Saya tidak akan gunakan wang ini kerana memang sepenuhnya untuk dia.
“Mungkin ini rezeki untuk anak sebab dia kehilangan kasih sayang ibu sejak kecil. Dia kini ada sumber kewangan kukuh untuk membesar dan belajar,” katanya ketika ditemui di kediamannya di Kampung Pondok Batang di sini semalam.
Terdahulu, Ikhlas Tijarah Sinergi Associate PLT (Iktisas) melakukan ziarah terhadap Muhammad Izwan dan keluarga serta menyerahkan tuntutan takaful berjumlah RM212,238.06.
Dalam pada itu, Ketua Pegawai Eksekutif Iktisas, Syahrunizam Shahwan berkata, proses tuntutan takaful kepada waris melalui prinsipal Takaful Ikhlas Family Berhad berjaya diselesaikan dalam tempoh kurang dua minggu.
Katanya, hibah tersebut bukan sahaja melalui sumbangan pemegang polisi, tetapi juga melibatkan sumbangan wakil-wakil rakan niaga Iktisas dan Takaful Ikhlas untuk membantu masyarakat.
“Syazana sebagai pemegang polisi telah memastikan waris-warisnya menerima hibah yang secukupnya. Anak bongsu juga turut diberikan sedikit pampasan,” katanya. – UTUSAN