Wanita sarat mengandung diselamatkan naik bot amfibia - Utusan Malaysia

Wanita sarat mengandung diselamatkan naik bot amfibia

ANGGOTA bomba menyelamatkan seorang wanita mangsa banjir yang mengandung dengan menggunakan bot amfibia untuk dibawa ke hospital di Kampung Tayor, Setiu, Terengganu, hari ini. - UTUSAN/PUQTRA HAIRRY ROSLI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SETIU: Seorang wanita yang sarat mengandung diselamatkan dengan menaiki bot amfibia setelah rumah didiami bersama keluarga dinaiki air di  Kampung Ladang Tayor di sini, hari ini.

Menurut adik mangsa, Nur Hafizah Muhamad, 28, kakaknya, Fatin Nadia, 29, yang menetap di Pulau Pinang baru tiba di negeri ini bersama suami dan anak sulungnya, Jumaat lalu.

Namun katanya, kampung berkenaan terputus hubungan dengan jalan utama akibat banjir menyebabkan seluruh ahli keluarga bimbang dengan keselamatan kakaknya itu.

“Kakak memang balik ke kampung untuk bersalin di sini manakala suaminya pulang ke Pulau Pinang pada Ahad setelah menghantar isterinya ke rumah ibu bapa kami.

“Atas nasihat pegawai perubatan, kakak saya yang mengandung lapan bulan perlu dipindahkan dengan segera bagi mengelak sebarang kesulitan jika terjadi apa-apa.

“Walaupun dijadualkan melahirkan anak pada bulan Januari, doktor risau banjir lebih teruk dan jalan menghubungkan rumah ibu bapa dengan klinik juga terputus.

“Jadi pukul 4 petang tadi, sepasukan anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) tiba untuk membawa kakak saya itu ke Klinik Kesihatan Sungai Tong di sini,” katanya di sini, hari ini.

Menurut Nur Hafizah, sebaik tiba di klinik terbabit, kakaknya membuat pemeriksaan kesihatan sebelum dibawa ayah saudara mereka untuk tinggal sementara di Kuala Nerus.

Jurucakap JBPM ketika dihubungi berkata, bot jenis ‘Amphibious Rigid Inflatable Boat’ (ARIB) itu biasa digunakan bagi membawa mangsa banjir yang memerlukan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya