HULU SELANGOR: Wakil Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Mun Choong tidak sangka percutian 20 guru bersempena cuti sekolah berakhir tragedi ekoran insiden tanah runtuh Batang Kali.
Yang Dipertua Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) SJKC Mun Choong, U Chin Onn berkata, guru-guru terbabit bersama keluarga mereka mengambil keputusan untuk bercuti dengan mendirikan khemah di ladang berkenaan, selama tiga hari sejak Rabu lalu.
“Mereka berkhemah sempena cuti persekolahan hujung tahun. Mereka patut pulang ke kediaman masing-masing pagi ini.
“Guru terbabit bercuti di ladang itu kerana merasakan kawasan itu selamat dan rata. Ada dua kem di kawasan itu, kejadian tanah runtuh teruk di kem satu,” katanya ditemui di pekarangan Balai Polis Hulu Yam Bharu.
Chin Ong berkata, berdasarkan maklumat yang diterimanya setakat ini, beberapa guru yang berjaya diselamatkan pihak berkuasa dihantar ke Hospital Kuala Lumpur untuk menerima rawatan.
“Selain HKL, ada guru dipindahkan ke Balai Polis Hulu Yam Bharu untuk menerima rawatan daripada petugas HKL,” katanya.
Bagaimanapun beliau tidak tahu jumlah sebenar keluarga guru yang berada di tapak perkhemahan tersebut.
Pihaknya difahamkan tapak perkhemahan itu berada di kawasan tanah rata yang sering menjadi lokasi orang ramai berkhemah sebelum guru terlibat mengambil keputusan ke lokasi itu.
“Saya dimaklumkan kejadian berlaku pada 2 pagi selepas salah seorang mangsa terdengar bunyi kuat runtuhan. Tanah runtuh itu berlaku bertentangan dengan tapak perkhemahan mereka,” katanya.
Chin Ong berkata, beberapa rombongan sekolahnya diselamatkan oleh pengunjung lain dari kem di sekitar lokasi kejadian. – UTUSAN