PETALING JAYA: Kerajaan perlu mengutamakan reformasi dalam perundangan negara bagi memastikan tiada salah guna dalam Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA).
Veteran DAP, Lim Kit Siang berkata, ini kerana beberapa tahun lepas, undang-undang itu didakwa digunakan untuk menutup skandal rasuah, menyekat kempen-kempen pilihan raya yang sepatutnya bebas dan adil malah menangkap individu yang tidak mempunyai kaitan dengan kumpulan Harimau Pembebasan Tamil Eelam (LTTE).
“Kerajaan perlu menyelesaikan sesi libat urus mengenai penghapusan peruntukan zalim dengan SOSMA yang dimulakan oleh pentadbiran kerajaan sebelum ini dan bentangkan pindaan yang perlu ke Parlimen dalam sidang bulan Februari nanti.
“Ini bertujuan mengelakkan berulangnya salah guna SOSMA seperti yang pernah berlaku sebelum ini,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Bekas ahli Parlimen Iskandar Puteri itu merujuk kepada beberapa kes terdahulu yang terkait dengan SOSMA antaranya bekas Ketua Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Khairuddin Abu Hassan.
Beliau ditahan di bawah SOSMA untuk mengelakkan daripada melancarkan kempen antarabangsa untuk mendedahkan skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB).
Bagaimanapun, Khairuddin menang saman terhadap kerajaan berhubung penahanannya yang didakwa tidak sah dan dibayar ganti rugi sebanyak RM300,000 dengan kos RM50,000.
Selain itu, kata Kit Siang, bekas Parlimen Petaling Jaya, Maria Chin Abdullah juga bekas Pengerusi Bersih 2.0 turut ditangkap berhubung penahanannya secara salah di bawah SOSMA pada 2016. – UTUSAN