KUALA LUMPUR: Usul undi percaya terhadap Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim akan menentukan kestabilan kerajaan perpaduan sehingga Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16) pada tahun 2027 akan datang.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Ahli Parlimen Sungai Buloh, Datuk R. Ramanan berkata, usul tersebut mampu untuk menyelamatkan kerajaan ini daripada disabotaj oleh mana-mana pihak.
“Usul ini adalah usul untuk kita pertahankan kerajaan dari unsur sabotaj. Kita tidak mahu ada mana-mana pihak cuba sabotaj kerajaan yang dititahkan oleh Yang di-Pertuan Agong demi kestabilan ekonomi dan negara.
“Petang ini apabila Perdana Menteri berjaya, ia akan menunjukkan inilah kerajaan yang akan kekal dalam tempoh lima tahun ini.
“Dengan itu kita membuktikan Kerajaan Perpaduan mempunyai kerjasama dari pelbagai pihak dan Perdana Menteri juga ada mengatakan, apa-apa perselisihan faham dan atau perbincangan yang perlu diadakan, perlu dibawakan oleh ketua-ketua parti untuk mendapat keputusan yang kolektif,” katanya ketika ditemui di Bangunan Parlimen di sini hari ini.
Menurut Ramanan, strategi yang dinyatakan oleh Perikatan Nasional (PN) berkaitan usul undi percaya itu selepas perbincangan di Persatuan Alumni Universiti Malaya (PAUM) Clubhouse tidak perlu dirisaukan.
“Kita tidak perlu risaukan kerana pagi tadi juga semasa memilih Speaker, mereka mendapat 74 undi sedangkan kerajaan mendapat 147 undi.
“Kita tidak memerlukan dua pertiga sokongan untuk kerajaan tapi setakat nampaknya kita sokongan itu,” katanya. – UTUSAN