UniSZA gerak Jawatankuasa Task Force bantu pelajar terjejas banjir - Utusan Malaysia

UniSZA gerak Jawatankuasa Task Force bantu pelajar terjejas banjir

ANGGOTA Jawatankuasa Task Force Banjir membantu memindahkan pelajar UniSZA, Kuala Nerus, Terengganu ke asrama di kampus Gong Badak, Kuala Nerus, Terengganu, hari ini. - UTUSAN/KAMALIZA KAMARUDDIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA NERUS : Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) menggerakkan Jawatankuasa Task Force Banjir untuk menjaga kebajikan dan keselamatan pelajar di universiti itu yang terjejas banjir,

Naib Canselor UniSZA, Prof. Dr. Fadzli Adam berkata, petugas jawatankuasa itu telah bertindak pantas membantu memindahkan pelajar yang terlibat ke asrama di kampus Gong Badak, di sini dan di Tembila, Besut, bermula hari ini.

“Setakat ini, hampir 50 pelajar telah dipindahkan secara berperingkat ke asrama.

“UniSZA juga masih memantau perkembangan banjir di sekitar kawasan kampus kerana masih ada pelajar yang menyewa di luar turut terjejas bencana itu,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Antara kawasan yang terlibat ialah Taman Murni Permai Tok Jembal, Taman Tanjung Permata dan beberapa taman perumahan di sekitar kawasan tersebut.

Tambahnya, UniSZA juga bergerak secara proaktif dalam menyampaikan bantuan berupa makanan kepada warga UniSZA yang telah terjejas akibat banjir..

“Selain daripada bantuan makanan kering diberikan kepada para pelajar, sukarelawan dan petugas jawatankuasa tersebut yang terdiri daripada staf dan pelajar juga turut berganding bahu memasak nasi dan lauk untuk diagihkan kepada semua pelajar yang menjadi mangsa banjir di dua kampus itu.

“Pasukan petugas banjir UniSZA juga sedang giat menjalankan misi bantuan menghantar bantuan makanan serta kemudahan pengangkutan kepada warga UniSZA yang terjejas.

“Selain itu, seramai 150 sukarelawan dalam keadaan bersiap sedia untuk dikerahkan ke kampus UniSZA dan 46 lagi sukarelawan di kampus Besut dalam masa terdekat,” katanya. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN