IPOH: UMNO Perak belum membuat pendirian berhubung sama ada jawatan Presiden dan Timbalan Presiden UMNO dipertandingkan atau tidak pada pemilihan parti itu.
Pengerusi UMNO Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, perkara itu akan dibincangkan terlebih dahulu dalam mesyuarat Badan Perhubungan UMNO Perak yang dijadualkan pada 8 Januari ini.
Menurutnya, pendirian UMNO Perak berhubung perkara itu juga tertakluk kepada keputusan Majlis Kerja Tertinggi (MKT) parti yang dijadualkan bermesyuarat pada 5 Januari ini.
“UMNO Perak belum buat keputusan kerana kita hanya akan mengadakan mesyuarat Perhubungan pada 8 Januari dan MKT akan bermesyuarat pada 5 Januari.
“Kita akan bincang dengan Majlis Tertinggi dahulu, tengok keadaannya sebab ada pro dan kontra, ada yang kata bagus dan ada yang kata tak bagus, kita tengok keadaannya,” katanya.
Beliau ditemui pemberita pada penyampaian sumbangan dana pendidikan kepada pelari pecut negara, Muhammad Azeem Mohd Fahmi dan insentif kepada pasukan hoki Perak di pejabatnya di sini hari ini.
Sementara itu, Saarani yang juga Menteri Besar berkata, kerajaan negeri tidak akan menstruktur semula individu yang memegang perjawatan tinggi dalam syarikat berkaitan kerajaan (GLC) negeri atau badan berkanun negeri susulan perubahan kerajaan negeri selepas Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).
Menurutnya, ini kerana Menteri Besar sebelum PRU15 dan sekarang ialah beliau sendiri iaitu individu yang sama.
Katanya, juga tiada perubahan terhadap lantikan di GLC atas dasar beliau berpuas hati dengan prestasi yang ditunjukkan oleh individu yang dilantik.
“Selalunya kalau bertukar, jika Menteri Besarnya orang berbeza tetapi Menteri Besar orang yang sama, saya berpuas hati dengan prestasi Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) dalam GLC di Perak.
“Sama ada di PKNPk (Perbadanan Kemajuan Negeri Perak), MB Inc. (Perbadanan Menteri Besar), Perak SADC (Perbadanan Kemajuan Negeri Perak), dan LAP (Lembaga Air Perak), jadi saya akan kekalkan lantikan mereka,” katanya.
Menurut Saarani, individu perjawatan tertinggi dalam GLC Perak dikekalkan kerana banyak program yang telah dilaksanakan secara bersama termasuk program berbentuk penilaian semula bagi tujuan penambahbaikan.
“Semua perjawatan itu pada dasarnya dilantik secara kontrak dwi tahunan iaitu setiap dua tahun dan ada antara kontrak perjawatan itu yang baru disambung semula semasa hampir PRU15,” katanya. – UTUSAN