ALOR SETAR: Meskipun sudah menjadi sebahagian daripada pihak yang mendukung Kerajaan Perpaduan, UMNO secara realitinya masih perlu melalui proses untuk memahami, menerima dan menginsafi kekalahan serta prestasi buruk dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).
Sehubungan itu, menurut Ketua Penerangan UMNO Kedah, Datuk Shaiful Hazizy Zainol Abidin, pihaknya akan menganjurkan sesi perjumpaan bersama jentera dan ahli parti akar umbi di peringkat bahagian bagi memperkukuh proses membina dan memperkasakan semula keyakinan serta gerak kerja UMNO Kedah.
Katanya, sesi tersebut dikenali sebagai siri Jelajah Bina Semula yang akan menjadi platform yang tepat dan terbaik kepada kepimpinan parti untuk berkongsi maklumat terkini kepada ahli akar umbi.
“Secara tidak langsung siri jelajah tersebut menjadi peluang terbaik kepada akar umbi untuk menyuarakan pandangan dan pendapat mereka secara timbal balas,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.
Mengulas lanjut Shaiful Hazizy berkata, UMNO perlu kekal sebagai sebuah parti teras dalam politik Malaysia dan harus diperkasakan demi membolehkannya terus dapat memainkan peranan dalam menyuburkan amalan demokrasi di negara ini khususnya di Kedah.
Katanya, dengan mengambil kira pendapat dan saranan semua pihak serta keadaan terkini dinamika lanskap politik negara, UMNO perlu mengenepikan segala perbezaan sentimen dan kembali bersatu bagi memastikan strategi diambil cukup ampuh untuk kembali memenangi hati rakyat.
“UMNO tidak boleh terlalu lama meratapi kekalahan sebaliknya perlu segera merangka dan menyusun strategi untuk membina kekuatan parti.
“Parti ini perlu bingkas kembali merancang gerak kerja serta hala tuju seterusnya bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) yang bakal berlangsung pada bila-bila masa saja,” katanya. –UTUSAN