BESUT: UMNO belum memutuskan jawatan Presiden dan Timbalan Presiden parti itu dipertandingkan atau sebaliknya pada Perhimpunan Agung UMNO (PAU), bulan depan.
Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan berkata, keputusan membuka atau tidak pertandingan dua jawatan itu belum ditetapkan yang mana perkara tersebut kebiasaannya dibincangkan terlebih dahulu dalam mesyuarat MKT.
“Selalunya dibincang dalam mesyuarat MKT. Kita tiap-tiap bulan ada mesyuarat, sama ada (dibuka pertandingan atau tidak) belum ada lagi keputusan,” katanya selepas menyampaikan bantuan mangsa banjir di Sekolah Kebangsaan (SK) Kampung La di sini, hari ini.
Pada majlis itu, seramai 200 mangsa banjir di kampung itu menerima bantuan barangan makanan.
Beliau juga melawat rumah penduduk yang rosak dalam kejadian banjir terburuk di kampung itu sejak tahun 2000 pada 18 Disember lalu.
Utusan Malaysia hari ini melaporkan, pemilihan UMNO termasuk jawatan Presiden dan Timbalan Presiden tidak menggugat kestabilan kerajaan perpaduan diketuai Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Penganalisis politik Pusat Perdana Fakulti Razak Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Dr. Mazlan Ali berkata, sebarang perubahan kepemimpinan UMNO dilihat tidak memberi kesan kepada kedudukan kerajaan meskipun pimpinan tertinggi parti itu terlibat dalam pembentukan tersebut.
Ahmad yang juga Menteri Kewangan I berkata, UMNO berterima kasih kepada semua pihak yang memberi pandangan berhubung pertandingan jawatan Presiden dan Timbalan Presiden parti itu.
“Terima kasihlah kerana masih mengambil perhatian berat tentang UMNO,” ujarnya.
Selain itu, beliau memberitahu, perkara berkaitan kerajaan perpaduan yang melibatkan kerjasama UMNO dan Pakatan Harapan (PH) antara yang disentuh dalam ucapan Presiden parti pada PAU itu.
“Kita juga tidak menyekat perwakilan daripada menyentuh perkara mengenai itu (kerjasama UMNO dan PH). Keputusannya telah dibuat oleh MKT,” katanya. – UTUSAN