PETALING JAYA: Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) menerima keputusan Tun Dr. Mahathir Mohamad meletak jawatan sebagai Pengerusi parti.
Presidennya, Datuk Seri Mukhriz Mahathir berkata, Dr. Mahathir bagaimanapun kekal sebagai ahli parti itu walaupun melepaskan jawatannya.
“Kami percaya beliau terus memberi pandangan-pandangan membina dan kritis terhadap masa depan negara sebagai seorang negarawan unggul.
“Semestinya perjuangan, legasi dan semangat beliau diteruskan oleh Pejuang demi agama, bangsa dan tanah air.
“Pejuang berusaha memastikan daya pemikiran, cara kepemimpinan dan tumpuan kepada keberhasilan beliau yang berteraskan prinsip dan nilai budaya murni diteladani oleh generasi pewaris perjuangan beliau,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Semalam, Utusan Malaysia melaporkan, Dr. Mahathir meletak jawatan sebagai Pengerusi Pejuang.
Menurut sumber parti itu, beliau bagaimanapun kekal sebagai Pengerusi Gerakan Tanah Air (GTA).
Pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), GTA yang bertanding menggunakan logo Pejuang gagal mendapat sebarang kerusi meskipun meletakkan calon di 125 kerusi Parlimen.
Dr. Mahathir sendiri kalah teruk di tangan calon Perikatan Nasional (PN) dengan majoriti 13,518 undi, malah hilang wang deposit apabila sekadar meraih 4,566 undi.
Mukhriz serta calon Gerakan Tanah Air lain juga tewas sekali gus menimbulkan persoalan sama ada parti itu akan terus bertahan sebagai entiti politik selepas PRU15. – UTUSAN