Tukang kasut didakwa bunuh anak sulung

Tukang kasut didakwa bunuh anak sulung, simbah air panas pada anak bongsu

bunuh
SEORANG bapa yang bertindak kejam dipercayai mendera anaknya sehingga maut sebelum menanam mayat mangsa di tepi jalan tiba di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur di sini, sebentar tadi. - FOTO/M FIRDAUS M JOHARI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Seorang lelaki yang sebelum ini ditahan kerana mendera dan membunuh anaknya sebelum menanam mayat mangsa di tepi Jalan Bellamy dihadapkan ke Mahkamah Majistret, di sini hari ini.

Tertuduh, Mohd. Yasin Halik, 40, didakwa melakukan perbuatan kejam itu terhadap anak perempuannya yang berusia sembilan tahun sembilan bulan, pada pukul 9 malam, 9 Disember lalu di kediaman mereka di Jalan Pudu di sini.

Pertuduhan ke atas tukang kasut itu dikemukakan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Sareeka Balakrishnan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati.

Majistret Wong Chia Sia bagaimanapun tidak merekodkan sebarang pengakuan daripada tertuduh kerana kes bunuh tertakluk dalam bidang kuasa Mahkamah Tinggi.

Kes itu ditetapkan untuk sebutan pada 21 Februari 2023.

Di mahkamah yang sama, Mohd. Yasin turut didakwa mencederakan teman wanitanya yang merupakan warga Indonesia, Suma, 41, dengan menyimbah wanita itu dengan air panas ketika mangsa sedang tidur menyebabkan kecederaan pada punggung kirinya, pada pukul 1 pagi, 8 Disember lalu di kediaman mereka.

Tertuduh bertindak demikian kerana marahkan wanita itu yang meminta lelaki itu membawa anak sulungnya untuk mendapatkan rawatan di hospital.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara 10 tahun atau denda atau sebat atau mana-mana dua daripada hukuman tersebut.

Tertuduh mengaku bersalah atas tuduhan tersebut dan dihukum penjara empat bulan dari tarikh tangkapan 11 Disember lalu.

Sementara itu, di Mahkamah Sesyen, Mohd. Yasin didakwa mencederakan seorang lagi anak perempuannya yang berusia enam tahun enam bulan dengan menyimbah kanak-kanak itu dengan air panas menggelegak daripada cerek di tempat sama, pada pukul 12 tengah hari, 1 Disember lalu.

Mangsa mengalami kecederaan melecur di kedua-dua belah bahu dan juga lutut. Kedua-dua kanak-kanak tersebut merupakan hasil bersekedudukan tertuduh dengan teman wanitanya.

Bagi dakwaan ini, pertuduhan dikemukakan Timbalan Pendakwa Raya, Wan Ahmad Hakimi Wan Ahmad Jaafar mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 yang memperuntukkan hukuman denda RM50,000 atau penjara maksimum 20 tahun atau kedua-dua sekali.

Tertuduh mengaku bersalah atas pertuduhan ini.

Bagaimanapun, Hakim Norina Zainol Abidin menetapkan 9 Januari 2023 bagi membolehkan pihak pendakwaan menyediakan fakta kes.

Pada 13 Disember lalu, Utusan Malaysia melaporkan seorang bapa ditahan selepas pihak polis menerima laporan daripada seorang wanita bahawa anak perempuannya telah didera oleh suaminya.

Laporan telah dibuat selepas mangsa ditemukan dalam keadaan lemah dan darah keluar dari mulut selepas pulang kerja kira-kira pukul 7 malam, pada hari sama.

Hasil siasatan awal mendapati suspek mengaku menanam mayat anaknya di tepi jalan Taman Dusun Bandar, Jalan Bellamy di sini. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya