PETALING JAYA: Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) akan mengkaji semula prosedur operasi standard (SOP) berkenaan ‘sea worthiness’ dan penugasan kapal-kapal yang jauh lebih tua berbanding His Thai Majesty’s Ship (HTMS) Sukhothai Thailand yang karam pada 18 Disember lalu.
TLDM amat memahami keadaan dan situasi yang dihadapi pengurusan tertinggi Tentera Laut Diraja Thailand (TLDT) apatah lagi warga kapal tersebut yang terpaksa melaksanakan operasi dalam situasi laut yang bergelora dan keadaan kapal yang berusia 35 tahun.
Panglima Tentera Laut, Laksama Tan Sri Mohd. Reza Mohd. Sany berkata, pastinya terdapat banyak cabaran dan kekangan yang dilalui bagi memastikan kapal berkenaan siap siaga untuk diatur gerak sebilang masa.
“Memandangkan 58 peratus daripada kapal-kapal TLDM berusia jauh lebih tua daripada HTMS Sukhothai marilah kita seluruh rakyat Malaysia mendoakan agar perkara serupa tidak akan menimpa kapal-kapal kita.
“Tanpa apa-apa tindakan drastik dari kerajaan dalam menangani isu bajet pertahanan sekali gus isu keusangan aset-aset kita, masalah ini akan terus membelenggu TLDM untuk jangka waktu yang panjang,” katanya dalam satu kenyataan semalam.
Seramai 76 tentera laut menaiki kapal HTMS Sukhothai ketika ia karam di Teluk Thailand dan operasi mencari dan menyelamat (SAR) yang dilakukan berjaya menemukan 73 daripada 106 penumpang dengan 33 lagi masih hilang.
Kapal HTMS Sukhothai yang dibina di Amerika Syarikat (AS) dan digunakan sejak 1987 dibadai angin kencang sebelum dimasuki air dan karam.
Sementara itu, Panglima Tentera Laut dan warga TLDM turut mengucapkan takziah kepada warga TLDT atas musibah yang berlaku kepada HTMS Sukhothai selain berharap dan mendoakan mangsa yang masih hilang dapat ditemui dalam keadaan selamat. – UTUSAN