Tindakan Taliban cetus kebencian, salah faham Islam - Zulkifli

Tindakan Taliban cetus kebencian, salah faham Islam – Zulkifli

ZULKIFLI MOHAMAD AL-BAKRI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Ahli Dewan Negara, Datuk Dr. Zulkifli Mohamad al-Bakri meluahkan kekesalan tindakan keras Taliban mengharamkan wanita belajar di universiti Afghanistan.

Beliau yang juga bekas Mufti Wilayah Persekutuan itu menyifatkan langkah ekstrem rejim tersebut bakal mengundang prasangka bukan Muslim mengenai ajaran Islam sebenar.

“Apa yang dibuat itu sama sekali tidak memihak kepada Islam malah mewujudkan banyak salah faham dan Islamofobia,” jelas beliau menerusi hantaran dalam akaun sosialnya.

Semalam, Menteri Pendidikan Tinggi Taliban, Nida Mohammad Nadim dalam sesi interviu stesen televisyen awam Afghanistan tetap bertegas mempertahankan arahan baharu itu.

Malah beliau dengan angkuh menolak semua kecaman komuniti antarabangsa termasuk pelbagai negara Islam yang kesal larangan itu hanya kerana tidak akur etika pemakaian.

Taliban menguasai Afghanistan sejak 15 Ogos 2021 susulan tentera Amerika Syarikat keluar dari negara itu dan pengunduran Presiden Ashraf Ghani yang melarikan diri dari Kabul.

Pengerusi Majlis Hukama Muslimin, Prof. Dr. Ahmed Al-Tayeb yang juga ialah Syeikh Universiti Al-Azhar di Mesir turut mengutuk usaha itu sebagai mencabuli hak asasi wanita.

Mengulas lanjut, Zulkifli yang turut pernah berkhidmat sebagai Menteri Jabatan Perdana Menteri Hal Ehwal Agama berkata, tindakan Taliban itu dibimbangi membawa imej negatif.

“Ia akan mencetuskan lebih prejudis, ketakutan dan kebencian terhadap golongan Muslim dan Islam serta bercanggah dengan prinsip Islam untuk wanita menuntut ilmu,” jelasnya.

Beliau merujuk beberapa hadis Rasulullah SAW sendiri mengenai isu itu dan menambah, cendekiawan Muslimah banyak memainkan peranan penting dalam sejarah awal Islam.

Antaranya Aishah Abu Bakar, Ummu Salamah Abu Umayyah dan Hafsah Umar yang juga menjadi rujukan pelbagai hukum agama kepada ramai sahabat Nabi Muhammad SAW.

Bahkan Allah sendiri tidak pernah pun mewujudkan diskriminasi untuk wanita Islam dapat belajar sehingga ke peringkat pengajian tinggi kerana menuntut ilmu itu adalah kewajipan.

Sehubungan itu, Zulkifli menggesa agar pihak berkuasa Taliban mempertimbangkan balik keputusan drastik diputuskan kerana bagi beliau, mencari ilmu lebih layak untuk diikuti. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya