Tiada usul undi percaya terhadap Saarani - Utusan Malaysia

Tiada usul undi percaya terhadap Saarani

MOHAMMAD Zahir Abdul Khalid dalam sidang akhbar di Ipoh hari ini. - UTUSAN/MUHAMAD NAZREEN SYAH MUSTHAFA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

IPOH: Tiada usul undi percaya terhadap Datuk Seri Saarani Mohamad sebagai Menteri Besar pada Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak yang akan bermula Isnin ini.

Yang Dipertua DUN Perak, Datuk Mohammad Zahir Abdul Khalid berkata, usul undi percaya hanya terhadap Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri di Dewan Rakyat tetapi tidak di DUN Perak terhadap Menteri Besar.

“Tiada undi percaya atau tidak percaya dalam sidang DUN kali ini, di Parlimen mungkin sedikit berbeza tetapi di Dewan Negeri tidak.

“Jika tanya saya sebagai speaker, selepas Pilihan Raya Umum (PRU) sudah dilantik Menteri Besar di bawah kuasa Tuanku Sultan, di dalam dewan negeri tidak perlu mengusulkan undi percaya atau tidak percaya.

“Usul itu tidak perlu, apatah lagi pada Mesyuarat Pertama terutamanya selepas PRU kecuali ada pertukaran Menteri Besar dalam tempoh itu, baru boleh bawa usul undi percaya dalam dewan untuk mengukuhkan kedudukan Menteri Besar,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar di Bangunan Perak Darul Ridzuan di sini hari ini. Turut hadir, Setiausaha Dewan Negeri, Muhammad Nazri Abdullah.

Pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) Pakatan Harapan (PH) menang 24 kerusi, Barisan Nasional (BN) sembilan kerusi manakala Perikatan Nasional (PN) mendapat 26 kerusi.

BN dan PH membentuk kerajaan negeri dengan majoriti 33 kerusi DUN daripada keseluruhan 59 kerusi.

Sementara itu, Mohammad Zahir berkata, Mesyuarat Pertama dan Mesyuarat Kedua Tahun Pertama Dewan Negeri Yang Ke-15 akan berlangsung pada 19 hingga 29 Disember.

Menurutnya, Mesyuarat Pertama akan berlangsung pada 19 Disember (Isnin) manakala Mesyuarat Kedua pula akan berlangsung bermula pada 20 Disember (Selasa) sehingga 29 Disember 2022 (Khamis) dan tempoh persidangan mesyuarat kedua selama tujuh hari.

Beliau berkata, pada Mesyuarat Pertama akan berlangsung pemilihan Yang di-Pertua, pemilihan Timbalan Yang di-Pertua serta angkat sumpah Ahli Dewan Negeri.

“Pada Mesyuarat Kedua, , Istiadat Pembukaan Rasmi Tahun Pertama Persidangan akan berlangsung. Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah dan Raja Permaisuri Perak, Tuanku Zara Salim berkenan untuk mencemar duli berangkat ke Istiadat tersebut.

“Sultan Perak akan menzahirkan titah diraja bersempena Pembukaan Rasmi Tahun Pertama Persidangan DUN,” katanya.

Menurutnya, seramai 35 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) muka baharu dalam sidang DUN kali ini dan ADUN termuda berusia 25 tahun iaitu Syed Lukman Hakim Syed Mohd Zin mewakili DUN Chenderoh.

Beliau juga akan mengumumkan ADUN Semanggol yang juga Persuruhjaya Pas Perak, Razman Zakaria sebagai Ketua Pembangkang.

Sebelum ini, jawatan ketua pembangkang dipegang oleh ADUN Tebing Tinggi, Dr Abdul Aziz Bari.

Dalam pada itu, pembentangan Bajet Negeri 2023 dan Rang Undang-Undang Akta Anti Lompat Parti antara usul yang akan dibentangkan dalam sidang DUN kali ini. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya