Tiada kompromi 14 hari tutup premis makanan kotor - Utusan Malaysia

Tiada kompromi 14 hari tutup premis makanan kotor

A. SIVANESAN (kanan) dalam sidang akhbar pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak di Ipoh hari ini. - UTUSAN/MUHAMAD NAZREEN SYAH MUSTHAFA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

IPOH: Kerajaan negeri tidak akan berkompromi terhadap perintah tutup selama 14 hari ke atas restoran atau kedai makanan yang didapati kotor.

Pengerusi Jawatankuasa Sumber Manusia, Kesihatan dan Hal Ehwal Masyarakat India, A. Sivanesan berkata, premis makanan yang diambil tindakan di bawah Akta Makanan 1983 perlu menghabiskan tempoh penutupan itu sehingga diperiksa semula oleh Jabatan Kesihatan Negeri (JKN).

Katanya, tindakan tegas itu diambil bagi memberi pengajaran terhadap premis yang mengabaikan aspek kebersihan sekali gus memastikan kejadian sama tidak berulang.

“Sebelum ini, kita beri notis tutup 14 hari kerana kotor namun dalam jangka masa dua hari, mereka ini (kedai) buka semula setelah pemeriksaan semula dibuat oleh pegawai kesihatan.

“Bagaimana kedai yang tidak dicuci bertahun-tahun boleh bersih dalam masa tiga hari selepas diberi notis? Kita tidak mahu ini (berulang). Kalau diarah tutup 14 hari, maka hari ke 13 atau ke 14 barulah kita buat pemeriksaan semula,” katanya dalam sidang akhbar pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak di sini hari ini.

Menurut beliau, pegawai daripada JKN Perak diminta memantau keadaan itu bagi memastikan setiap premis patuh kepada tindakan yang dikenakan.

“Saya beri amaran kepada pengusaha restoran di Perak khasnya restoran 24 jam, jika tidak boleh jaga kebersihan biar apa alasan yang diberikan, kebiasaannya tidak cukup pekerja. Bagaimana tidak cukup pekerja tapi boleh buka 24 jam?,” katanya.

Sementara itu dalam perkembangan berlainan beliau berkata, bagi memastikan kualiti makanan yang dijual di kafe-kafe hospital di negeri ini, satu kajian akan dijalankan membabitkan lima buah hospital.

Katanya, hospital terlibat ialah Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB), Hospital Taiping, Hospital Manjung, Hospital Teluk Intan dan Hospital Batu Gajah.

“Kita akan buat ‘study case’ di lima hospital berkaitan makanan-makanan yang dijual di kafeteria mereka. Kita mahu lihat kualiti makanan.

“Pakar pemakanan hospital harus turun padang melihat makanan yang dimasak dan dihidang, bagi memastikan ia mesti berkualiti. Kalau kafe di hospital tidak buat, macam mana mahu ajar orang awam (berkaitan pemakanan bersih dan berkhasiat),” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya