PETALING JAYA: Parti Warisan menafikan dakwaan kononnya terdapat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) parti itu melompat parti.
Presidennya, Datuk Seri Mohd. Shafei Apdal berkata, khabar angin dan cakap-cakap itu hanya ditimbulkan semula sebagai percubaan berniat jahat pihak tertentu untuk melemahkan dan menjatuhkan Warisan.
“Parti Warisan mengadakan mesyuarat Ahli Majlis Tertinggi (AMT) di Kota Kinabalu pagi ini yang turut dihadiri wakil rakyat parti ini.
“Parti Warisan kekal utuh dan dakwaan kononnya ada ADUN Warisan yang melompat parti adalah tidak benar.
“Kesemua ADUN Warisan juga mengulangi kesetiaan tidak berbelah bahagi mereka kepada parti,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Mohd. Shafei menambah, AMT dan wakil rakyat Warisan juga sebulat suara menyatakan sokongan kepada Kerajaan
Perpaduan dan Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri. – UTUSAN