Terusan berusia 137 tahun kini kotor, busuk - Utusan Malaysia

Terusan berusia 137 tahun kini kotor, busuk

KEADAAN Terusan Wan Mat Saman yang dijadikan tempat pembuangan sampah oleh pihak tidak bertanggungjawab. - UTUSAN/JAMLIAH ABDULLAH
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ALOR SETAR: Kotor, busuk dan sakit mata memandang. Itu realiti keadaan Terusan Wan Mat Saman hari ini walaupun pernah menjadi kebanggaan negeri jelapang padi dengan statusnya sebagai terusan buatan manusia terpanjang di Malaysia sejak 137 tahun lalu.

Terusan yang terletak bermula dari Sungai Kedah di pusat bandar raya ini sehingga ke kaki Gunung Jerai itu ketika ini tidak ubah seperti parit yang airnya mengalir lesu sedangkan dahulu merupakan nadi sektor pertanian negara di Kedah.

Tinjauan Utusan Malaysia di sekitar terusan berkenaan amat menyedihkan terutama di kawasan berdekatan bandar raya apabila hanya kelihatan air yang hitam, berminyak dan persekitaran yang berbau busuk terutama hari hujan.

Sementara di kawasan pinggir bandar seperti Tandop, Simpang Empat dan Kota Sarang Semut, terusan itu tidak ubah seperti tempat pembuangan sampah memandangkan apa yang kelihatan di permukaannya adalah botol minuman, plastik, tayar terpakai serta ranting pokok yang dibiarkan mereput lantas menyakitkan mata.

Paling menyedihkan ketika tinjauan dilakukan apabila dalam kalangan orang ramai, daripada 10 yang ditemu bual, hanya tiga mengetahui sejarah asal usul terusan tersebut malah ada yang hanya menganggap ia sebagai sungai atau parit.

Hakikatnya, pembinaan Terusan Wan Mat Saman merupakan asas kepada pembangunan sektor pertanian Kedah sehingga menjadikan negeri ini bergelar Jelapang Padi negara pada abad ke-19.

Seorang penduduk yang tinggal berdekatan dengan terusan tersebut di Tandop, Mohd. Azmi Che Mat, 68, berkata, lahir dan membesar di kawasan itu membolehkan dia menyaksikan perubahan Terusan Wan Mat Saman dari sebuah terusan yang indah serta berguna kepada parit terbiar.

“Menyedihkan. Saya ingat waktu kecil dahulu kami akan mandi-manda di sini. Bila musim menanam, air terusan akan penuh malah boleh main rakit.

“Tetapi lihatlah apa yang jadi pada hari ini, macam longkang dan parit. Air kotor dan busuk. Ditambah dengan lokasi berdekatan bandar, airnya hitam dan berminyak,” katanya ketika ditemui semalam.

Menurut Mohd. Azmi, pembangunan bandar ini ‘meragut’ fungsi terusan itu apatah lagi apabila tiada usaha memulihara khazanah sejarah yang berharga tersebut.

“Kalau beritahu orang terutama orang luar Kedah, parit ini adalah Terusan Wan Mat Saman, mereka pun tak percaya. Mungkin akan ketawa saja kerana lihatlah keadaannya terkini,” luahnya.

Sementara itu, anaknya, Maimunah, 40, memberitahu, dia bertuah kerana masih berpeluang melihat terusan itu berfungsi dengan baik ketika kecil memandangkan ia juga pernah menjadi sumber air kepada penduduk setempat.

“Saya ingat dahulu masa kecil, kalau tak ada air di rumah. Air terusan ini masih boleh kami gunakan kerana bersih.

“Sekarang sudah jadi tempat buang sampah bagi mereka yang tidak bertanggungjawab. Semak samun di sepanjang terusan ini menjadikan ia kelihatan sangat terbiar,” katanya yang juga seorang peniaga.

Azizi Safarudin, 50, pula berkata, pihak terlibat perlu mengambil inisiatif memulihara Terusan Wan Mat Saman sebagai peringatan kepada generasi muda agar sejarahnya tidak dilupakan begitu sahaja.

“Sebuah sekolah yang mengambil nama pencetus idea terusan ini iaitu Perdana Menteri Kedah (kini Menteri Besar) pertama, itu sahaja orang tahu terutama orang muda. Mereka (orang muda) pun tak tahu parit yang terbiar ini adalah terusan yang sangat berguna suatu ketika dahulu.

“Kecuali di Tanjung Chali, saya tak nampak papan tanda yang menunjukkan sejarah Terusan Wan Mat Saman. Saya rasa suatu hari nanti nama terusan ini akan ghaib macam itu sahaja tanpa dapat dikesan jika usaha memulihara tidak dilakukan,” kata kakitangan swasta ini.

Seorang pelajar, Masturina Ahmad Sharif, 19, mengakui kewujudan Terusan Wan Mat Saman itu ketika ini amat menyedihkan malah semakin dilupakan terutama dalam kalangan generasi muda sepertinya.

“Saya sering menerangkan kepada rakan-rakan tentang sejarah terusan ini dan mereka sendiri terkejut melihat keadaannya. Banyak yang sebaya dengan saya pun sudah tak kenal parit ini adalah tinggalan sejarah yang penting kalau tak ceritakan kepada mereka,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya