ALOR SETAR: Wanita paling tua di Kedah, Mardzi Abu Bakar, 109, tidak dapat melupakan pengalaman terpaksa menyembunyikan anak perempuannya dalam sabut kelapa ketika perkampungan mereka dimasuki tentera Jepun.
Mardzi yang berasal dari Kampung Haji Kudong, Sungai Petani berkata, penduduk kampung ketika itu sentiasa berada dalam ketakutan pada era pemerintahan Jepun sekitar tahun 1940-an.
“Hidup zaman Jepun sentiasa menakutkan terutama bila mereka masuk kampung kami terpaksa menyembunyikan diri termasuk anak-anak. Anak perempuan, Fatimah ketika itu masih kecil lagi terpaksa sembunyi takut tentera Jepun ambil,” katanya.
Mardzi berkata demikian ketika ditemui pada Majlis Perasmian Sambutan Hari Kanak-kanak Sedunia, Hari Orang Kurang Upaya dan Hari Warga Emas Peringkat Kedah 2022 di sini, semalam.
Majlis tersebut dirasmikan Raja Puan Muda Kedah, Che Puan Muda Zaheeda Mohamad Ariff yang turut menyampaikan Anugerah Khas kepada Mardzi sebagai mengiktiraf dirinya yang merupakan warga emas paling tua di Kedah ketika ini.
Berangkat sama, Raja Muda Kedah, Tengku Sarafudin Badlishah Sultan Sallehuddin.
Sementara itu, Mardzi yang mempunyai enam anak dan 30 cucu berkata, dia merasa bertuah apabila dipilih menerima anugerah tersebut.
Bercerita lanjut kata Mardzi yang tidak mempunyai sebarang penyakit, beliau tidak mempunyai sebarang petua khusus namun mengamalkan pemakanan orang dulu-dulu seperti masakan rebus dan mentah seperti ulam-ulaman.
Wanita itu yang kini dijaga oleh anak bongsunya, Muhammad Asri Marzoki berkata,dia bersama arwah suami, Marzoki Hashim membesarkan anak-anak mereka secara sederhana termasuk dalam pendidikan.
“Saya selalu ingatkan mereka supaya sentiasa tahu asal usul bahawa kita orang susah dan mereka perlu belajar bersungguh-sungguh untuk berjaya. Alhamdulillah semua anak berjaya dalam hidup mereka dan mempunyai kerjaya masing-masing walaupun saya dan arwah suami tak pergi ke sekolah,” katanya. –UTUSAN