Terkejut ditimpa siling, bumbung runtuh ekoran tong gas meletup - Utusan Malaysia

Terkejut ditimpa siling, bumbung runtuh ekoran tong gas meletup

MUHAMMAD AZIB Muhamad berdiri di depan rumah teres dua tingkat yang didiami bersama kakaknya yang rosak teruk akibat letupan tong gas dalam kejadian di Taman Sena Permai, Tasek Gelugor, Pulau Pinang awal pagi tadi.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TASEK GELUGOR: Kejadian tong gas memasak meletup yang mengakibatkan seorang wanita melecur hampir seluruh badan mengejutkan kejiranan Taman Sena Permai, Pokok Sena, di sini pagi tadi.

Mangsa, Siti Hajar Hanis Muhamad, 26, bagaimanapun dilaporkan stabil dan sedang menerima rawatan di Hospital Kepala Batas (HKB).

Menceritakan kembali detik mencemaskan itu, adik mangsa, Muhammad Azib, 25, berkata, ketika kejadian, dia sedang tidur di bilik bahagian atas rumah teres dua tingkat itu.

“Saya dan isteri, Marsitah Md. Zaki, 25, sebenarnya baru sampai rumah malam tadi selepas selesai majlis perkahwinan kami di sebelah isteri di Raub, Pahang.

“Pada mulanya, kami ingat mahu singgah sebentar di Cameron Highland, namun disebabkan saya perlu kembali bekerja esok, maka kami batalkan niat dan terus balik ke sini.

“Ketika sedang tidur, saya terkejut apabila bumbung dan siling rumah tiba-tiba menghempap badan ekoran letupan terbabit,” katanya ketika ditemui pemberita di sini hari ini.

Tambah Muhammad Azib, tidak lama selepas itu dia terdengar isterinya menjerit dari tingkat bawah memaklumkan tubuh kakak iparnya disambar api.

“Kakak saya juga menjerit dan saya terkejut melihat keadaannya yang teruk melecur di seluruh badan.

“Saya seolah-olah berada dalam mimpi melihat kejadian itu, apatah lagi baharu bangun tidur dan terus mendapatkan pertolongan jiran serta bomba.

“Difahamkan, kakak mahu menyediakan sarapan dengan menggoreng ikan yang memang menjadi rutin hariannya sejak dia bekerja dari rumah,” katanya.

Tambahnya, dia dan kakaknya tinggal bersama di rumah yang diberikan ibu bapa mereka sejak dua tahun lalu.

“Kakak juga bakal mendirikan rumahtangga Januari depan dan syukurlah keadaannya kini dilaporkan stabil.

“Insiden ini amat memeranjatkan saya, apatah lagi rumah kami rosak teruk dengan bumbung dan siling tercabut dan tingkap pecah.

“Semua perkasas rumah termasuk perabot habis terpelanting keluar, malah kenderaan yang diparkir di luar rumah juga rosak kesan daripada letupan gas memasak terbabit,” katanya.

Sementara itu, salah seorang jiran, Nur Farina Sukri, 26, berkata, dia dan keluarganya terus keluar dari rumah selepas terdengar letupan kuat di sebelah rumahnya.

“Apabila keluar didapati semua jiran sudah mula berkumpul di hadapan rumah mangsa yang juga kawan saya.

“Memang terkejut lihat keadaan dia yang melecur hampir keseluruhan badan tetapi semangatnya kuat kerana ketika kejadian dia masih boleh berjalan walaupun keadaanya amat kritikal,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya