Terengganu bersiap sedia hadapi banjir gelombang kedua - Utusan Malaysia

Terengganu bersiap sedia hadapi banjir gelombang kedua

TENGKU Farok Hussin Tengku Abdul Jalil (empat dari kanan) menyampaikan hadiah kepada pemenang Kejohanan International Golden Monsoon Ride di Lembah Bidong, Setiu, Terengganu, hari ini. - UTUSAN/TENGKU DANISH BAHRI TENGKU YUSOFF
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SETIU: Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Terengganu bersiap sedia menghadapi kemungkinan banjir gelombang kedua berikutan cuaca tidak menentu di negeri ini pada masa ini.

Pengerusinya, Datuk Tengku Farok Hussin Tengku Abdul Jalil berkata, semua agensi berkaitan diarah memantau lokasi berisiko di seluruh negeri terutama kawasan rendah dan muara sungai.

Menurut beliau, setakat ini hanya satu pusat pemindahan sementara (PPS) dibuka di daerah Kuala Terengganu iaitu Sekolah Kebangsaan (SK) Atas Tol, di sini yang menempatkan 23 orang mangsa.

“Situasi banjir buat masa ini terkawal namun Jabatan Meteorologi Malaysia mengeluarkan amaran hujan berterusan di seluruh negeri Terengganu sehingga 20 Disember.

“Selain itu, kami juga mengambil maklum ramalan angin kencang kategori tiga sehingga 60 kilometer sejam serta laut bergelora dengan ombak mencecah 4.5 meter sehingga 22 Disember.

“Jadi semua agensi termasuk tentera telah bersedia dengan aset masing-masing,” katanya selepas Kejohanan International Golden Monsoon Ride di Lembah Bidong di sini, hari ini.

Dalam perkembangan sama, Tengku Farok Hussin memberitahu, pengoperasian Empangan Kenyir di Hulu Terengganu berjalan seperti biasa sejak Monsun Timur Laut (MTL) melanda.

Jelasnya, beliau akan melakukan lawatan berjadual ke lokasi berkenaan dalam masa terdekat bagi mendapatkan maklumat berkala daripada Tenaga Nasional Berhad (TNB).

“Hasil kunjungan saya ke Empangan Kenyir baru-baru ini, aspek keselamatan termasuk di Stesen Janakuasa Sultan Mahmud telah ditingkatkan bagi mengelak risiko banjir puing berulang.

“Dalam minggu depan, TNB akan sekali lagi melaporkan perkembangan terkini dan saya jangkakan tiada masalah atau apa-apa yang merisaukan berkaitan Empangan Kenyir,” tambahnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN