PETALING JAYA: Amerika Syarikat (AS) dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) memperkukuh kerjasama keselamatan maritim kedua-dua negara dengan menyertai Kerjasama Kesediaan dan Latihan Terapung (CARAT) Malaysia bermula 21 hingga 29 November lalu di Kuantan, Pahang.
Tahun ini menyaksikan ulang tahun ke-28 AS mengadakan acara CARAT bersama sekutu dan rakan kongsi.
Latihan itu adalah langkah Tentera Laut AS bagi mengukuhkan hubungan di seluruh Asia Selatan dan Asia Tenggara, pada masa menyerlahkan komitmen AS kepada rakan kongsi Persatuan Negara-Negara Asia Tenggara (ASEAN).
Komander Pasukan Petugas 71/Skuadron Pemusnah 15, Kapten Walter Mainor mengucapkan terima kasih kepada layanan dan kakitangan Tentera Laut Diraja Malaysia yang merancang, menyelaras dan menyumbang kepada CARAT Malaysia 2022.
“Latihan dan pembelajaran berterusan yang dipelajari serta dibangunkan semasa CARAT Malaysia, menyediakan kesediaan dan kemahiran maksimum untuk bertindak balas terhadap tindak balas pelbagai negara terhadap bencana alam, bencana buatan manusia serta krisis lain pada masa hadapan,” katanya dalam satu kenyataan.
Sementara itu, Duta AS ke Malaysia, Brian McFeeters berkata, beliau berbangga dengan kerjasama keselamatan dan perkongsian ketenteraan di antara AS dengan Malaysia.
“Kami berharap untuk meneruskan persahabatan kami dan meningkatkan lagi hubungan kukuh, sambil berusaha ke arah matlamat bersama untuk mengekalkan Indo-Pasifik yang bebas dan terbuka,” katanya.
CARAT Malaysia 2022 terdiri daripada operasi bagi fasa pantai dan fasa di laut. Ini termasuk operasi antipermukaan dan antikapal selam, langkah-langkah pertahanan anti keganasan dan latihan perang permukaan.
Dalam program itu, pesawat peronda dan peninjau maritim Tentera Laut AS, P-8A Poseidon menyediakan latihan udara, menampilkan penglibatan rangkaian pautan data taktikal tentera LINK-16 yang pertama antara Skuadron Pertahanan Udara Tentera Udara Diraja Malaysia dan P-8A Tentera Laut A.S. – UTUSAN