Tengku Sri Temenggung Raja melawat mangsa banjir - Utusan Malaysia

Tengku Sri Temenggung Raja melawat mangsa banjir

TENGKU Baharuddin Sultan Mahmud (dua, kanan) beramah mesra dengan mangsa banjir ketika melawat di PPS SK Bukit Nanas, Kuala Nerus, Terengganu, petang tadi. - UTUSAN/TENGKU DANISH BAHRI TENGKU YUSOFF
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA NERUS: Kedukaan mangsa banjir di pusat pemindahan sementara (PPS) Sekolah Kebangsaan (SK) Bukit Nanas di sini terubat dengan kehadiran Tengku Sri Temenggung Raja Terengganu di sekolah itu, petang tadi.

Datuk Seri Tengku Baharuddin Sultan Mahmud yang juga adinda kepada Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin tiba pada pukul 4.40 petang dan meluangkan masa lebih setengah jam melawat di PPS terbabit.

Selain menyantuni dan bertanya khabar mangsa, beliau turut berkempatan menghulurkan kit bantuan segera berupa makanan kepada 82 orang yang ditempatkan di SK Bukit Nanas.

Menurut beliau, kerjasama agensi seperti Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) serta Angkatan Pertahanan Awam (APM) terjalin baik dalam menangani situasi banjir ketika ini.

“Begitu juga koordinasi pihak berkuasa yang lain termasuk Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), Rela dan sukarelawan yang sentiasa menjaga keselesaan mangsa sebaik mungkin.

“Saya doakan mangsa banjir di seluruh negeri Terengganu sentiasa sihat dan tabah dengan ujian ini, selain sentiasa mematuhi arahan pasukan menyelamat,” katanya ketika ditemui di sini, petang tadi.

Sementara itu, beliau yang juga Komander Rejimen 512 Askar Wataniah (AW) memberitahu, seramai 30 anggota rejimen terbabit diletakkan dalam keadaan siap siaga membantu menyelamat mangsa banjir jika diperlukan pada bila-bila masa.

Malah Rejimen 512 AW juga katanya, bersedia dengan kekuatan aset seperti lori, pacuan empat roda dan bot.

“Kami sentiasa berhubung dengan pihak lain berhubung perkembangan situasi banjir dan Rejimen 512 AW juga dibahagikan kepada daerah masing-masing termasuk Dungun, Kuala Terengganu dan Kuala Nerus.

“Walaupun cuaca nampak semakin baik, kami perlu bersedia sekiranya berlaku kemungkinan dengan ramalan cuaca buruk Monsun Timur Laut sehingga awal 2023,” tambah beliau. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya