Teliti polisi harga dua peringkat minyak masak - Salahuddin

Teliti polisi harga dua peringkat minyak masak – Salahuddin

SALAHUDDIN Ayub mempengerusikan mesyuarat libat urus bersama pemain industri minyak masak di KPDNKSH Putrajaya. - UTUSAN/FAISOL MUSTAFA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDNKSH) memperincikan cadangan, polisi dan mekanisme pelaksanaan harga dua peringkat (2-tiered pricing) bagi minyak masak.

Menterinya, Datuk Seri Salahuddin Ayub berkata, cadangan mengenai harga dua peringkat itu dibentangkan Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) pada sesi libat urus dengan pemain industri minyak masak hari ini.

Beliau berkata, pihaknya amat gembira apabila pemain industri bersedia menimbangkan pelaksanaan harga dua peringkat itu.

“Cadangan dan polisi itu akan diperincikan sehingga semua aspek diambil kira,” katanya dalam sidang akhbar hari ini.

Terdahulu, Salahuddin mengadakan sesi libat urus dengan pemain-pemain industri minyak masak dan wakil-wakil Persatuan Pengilang Minyak Masak Malaysia yang turut disertai wakil Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi (KPPK).

Dalam pada itu, Salahuddin berkata, pemain industri memberikan input positif terhadap impak harga siling bergerak, harga minyak masak bersubsidi dan harga minyak masak terpakai terhadap bekalan di pasaran. 

Menurutnya, cadangan dan input yang diberi sangat berguna dan akan dicerakin dengan lebih terperinci sebelum sesuatu keputusan dan polisi baru dibangunkan.

“Ia juga bagi memastikan supaya situasi menang-menang dapat dihasilkan untuk pengilang, peniaga dan pengguna. 

“Kerajaan sangat prihatin dengan situasi sekarang dan sentiasa komited dalam menangani isu harga dan bekalan,” katanya.

Katanya, kementerian juga akan terus meningkatkan usaha membantu mengurangkan beban rakyat dan tidak akan teragak-agak untuk menguatkuasakan undang-undang sedia ada.

Jelasnya lagi, sesi libat urus itu penting bertujuan mengenali dengan lebih dekat pemain industri, memahami permasalahan dan mendapatkan data penting sebelum dasar-dasar serta gerak kerja yang inovatif dapat dibangunkan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya