GEORGE TOWN: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup serta Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan digesa menyelesaikan masalah kekurangan bekalan telur ayam di pasaran dengan segera.
Presiden Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP), Mohideen Abdul Kader berkata, ini kerana tinjauan pihaknya mendapati, kebanyakan peniaga runcit dan pasar awam mendakwa sukar mendapatkan bekalan telur sejak dua bulan lalu.
“Kami dapati telur ayam masih boleh diperoleh di pasar awam dan kedai runcit di sekitar Gelugor, Bayan Baru, Jelutong dan Batu Lanchang.
“Namun, peniaga runcit mendakwa mereka sukar mendapatkan bekalan kerana kuantiti yang diterima daripada pemborong adalah kurang,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Menurut Mohideen, masalah kekurangan bekalan telur menimbulkan kebimbangan dalam kalangan pengguna berikutan makanan itu merupakan sumber protein termurah di pasaran.
“Selain kekurangan telur ayam, CAP juga mendapati ada peniaga yang menjual telur segar gred rendah sebagai telur gred premium.
“Kita mendapati ada peniaga yang menjual telur Gred A dan B sebagai telur premium (gred AA) dengan harga 66 sen sebiji, sedangkan harga telur Gred A ditetapkan pada 45 sen sebiji dan Gred B, 43 sen,” katanya.
Sehubungan itu tambah beliau, CAP menggesa Bahagian Penguatkuasaan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup menyiasat perkara tersebut kerana golongan berpendapatan sederhana akan terjejas akibat kenaikan harga barang.
“Tindakan segera perlu diambil untuk mengurangkan dan mengawal harga semua barangan,” tambahnya. – UTUSAN