Tangani keperluan terdesak perubahan iklim, amaran awal banjir ditingkatkan

Tangani keperluan terdesak perubahan iklim, amaran awal banjir ditingkatkan

banjir
PEMANDANGAN dari udara rumah penduduk ditenggelami banjir di Kampung Durian Mentangau, Terengganu. UTUSAN/PUQTRA HAIRRY
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Kementerian Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim (NRECC) akan meningkatkan lagi amaran awal banjir menerusi Jabatan Meteorologi Malaysia (METMalaysia) dan Jabatan Pengairan Saliran (JPS) pada masa depan.

Menterinya, Nik Nazmi Nik Ahmad berkata, beliau memahami keperluan terdesak menangani isu perubahan iklim di negara ini yang ditekankan lagi akibat banjir yang sudah menjadi bencana tahunan.

Beliau berkata, NRECC akan memberi fokus sepenuhnya kepada perkara ini dan terus mendepani usaha mencari penyelesaian kepada isu yang membelenggu masa depan Malaysia ini.

“Kita sudah tidak boleh bergerak seperti biasa. Kami akan memperhalusi setiap komitmen kerajaan secara terperinci untuk memerangi perubahan iklim serta impaknya yang dahsyat.

“Kami akan terus menyokong dan membantu mengikut keperluan, setiap usaha yang dijalankan oleh jabatan dan agensi berkaitan,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Semalam, Utusan Malaysia melaporkan, sistem amaran banjir negara ini lemah yang mengakibat kerugian kepada negara sebanyak RM36 bilion setahun sehingga lebih 70,000 penduduk menjadi mangsa bencana itu,

Perkara itu dibangkitkan Pengarah Pusat Kesiapsiagaan dan Pencegahan Bencana, Malaysia-Japan International Institute of Technology, Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Dr. Khamarrul Azahari Ra­zak yang memberitahu ketika ini sistem amaran awal banjir di Malaysia masih di tahap tidak mencukupi manakala peta bahaya risiko banjir pula tidak diperluaskan ke peringkat komuniti.

Dalam pada itu, Nik Nazmi berkata, pembentukan NRECC sebagai kementerian yang dipertanggungjawabkan untuk menangani perubahan iklim juga adalah bukti bahawa kerajaan ini sudah pun mengambil langkah segera dan positif.

Nik Nazmi berkata, Pakatan Harapan (PH) sememangnya sentiasa mengutamakan isu perubahan iklim, yang terbukti bukan sahaja melalui manifesto PH.

Malah, katanya, ketika Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Ketua Pembangkang, beliau pernah mencadangkan pembentukan Jawatankuasa Khas Perubahan Iklim dan Biodiversiti yang dibuat pada 4 Ogos lalu.

“Selain itu, NRECC pada 19 Disember lepas juga mencadangkan kepada Speaker Dewan Rakyat, pembentukan satu Jawatankuasa Pilihan Alam Sekitar dan Perubahan Iklim.

“Matlamat utama Jawatankuasa Pilihan ini adalah membantu kerajaan dalam mengesyorkan dasar yang jelas serta mengenalpasti kaedah-kaedah mitigasi terhadap perubahan iklim,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya