ROMPIN: Biarpun tangan terketar-ketar dan tidak boleh memegang pen, kekangan itu bukan halangan buat seorang warga emas, Zauyah Sulaiman, 84, menunaikan tanggungjawab sebagai pengundi pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) Dewan Undangan Negeri (DUN) Tioman, semalam.
Ibu kepada tujuh anak itu menderita strok sehingga dia tidak dapat berjalan, tetap bersemangat walaupun berkerusi roda untuk mengundi dengan bantuan petugas Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) bagi memangkah borang pengundian.
Berasal dari dari Kampung Parit di sini, Zauyah berkata, dia bangun awal pagi untuk keluar mengundi sebelum dihantar anaknya ke pusat pengundian di Sekolah Kebangaaan (SK) Pontian di sini.
“Saya tidak pernah terlepas mengundi selagi ada pilihan raya dan selagi ada umur, bagi saya undi amat penting.
“Kali ini walaupun saya tidak dapat berjalan kerana strok dan tak dapat memegang pen, saya tetap mahu menunaikan tanggungjawab, alhamdulillah semuanya selesai,” katanya ketika ditemui selepas mengundi di SK Pontian.
PRU15 DUN Tioman ditangguhkan kepada semalam selepas calon Perikatan Nasional (PN), Md. Yunus Ramli meninggal dunia di Hospital Rompin akibat komplikasi jantung pada 19 November lalu.
Pilihan raya umum (PRU) itu menyaksikan pertembungan antara penyandang daripada Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Mohd. Johari Hussain; Pakatan Harapan (PH), Mohd. Fadzly Mohd. Ramly; Bebas, Sulaiman Bakar; Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang), Osman Bakar dan calon PN, Nor Idayu Hashim.
Sementara itu, seorang lagi pengundi, Nijah Abdullah, 76, berkata, meskipun sudah uzur dia tetap bertekad keluar mengundi.
Katanya, dengan dibantu penduduk kampung, dia dibawa ke pusat pengundian sebelum ditolak menggunakan kereta sorong.
Seorang lagi penduduk, Aishah Ismail, 66, berkata, meskipun tinggal jauh di Bentong bersama anaknya, dia tetap pulang untuk menunaikan tanggungjawab sebagai pengundi.
Katanya, dia yang tidak pernah terlepas mengundi setiap kali pilihan raya berpuas hati dan berasa lega selepas menunaikan tangungjawab memilih wakil rakyat. – UTUSAN