HULU SELANGOR: Sembilan individu termasuk seorang kanak-kanak lelaki disahkan meninggal dunia setakat ini dalam kejadian tanah runtuh di tapak perkemahan berdekatan jalan menghubungkan Batang Kali dengan Genting Highland.
Setakat pukul 11 pagi tadi, sebanyak 25 indidivdu dipercayai masih lagi terperangkap dalam kejadian berkenaan.
Menurut Ketua Polis Daerah Hulu Selangor Superintendan Suffian Abdullah, kejadian tanah runtuh di sini melibatkan tiga tapak perkemahan iaitu River Hilltop, River Side dan Farm View.
Beliau berkata, seramai 94 orang mangsa termasuk pekerja tapak disahkan terlibat dalam kejadian itu setakat pukul 11 pagi tadi dengan kesemua mereka merupakan warga tempatan.
“Tiga kawasan ini telah dimasuki oleh pengunjung pada hari Rabu yang lepas (dan) mereka menjalankan aktiviti perkhemahan.
“Daripada 94 orang itu, 54 mangsa sudah diselamatkan dengan tujuh daripadanya dibawa ke hospital kerana mengalami kecederaan.
“Setakat ini sembilan orang meninggal dunia termasuk satu kanak dipercayai berumur 5 tahun. Mayat akan dibawa ke Hospital Kuala Lumpur (dengan) proses pengecaman masih dibuat,” katanya kepada pemberita di sini.
Suffian berkata, sebanyak 394 anggota melibatkan 15 agensi yang membantu dalam misi mencari menyelamat hari ini.
“Setakat ini usaha-usaha di tempat kejadian masih dilakukan dan mungkin akan minta bantuan dari unit udara untuk meninjau keadaan dari atas.
“Kita akan update kemajuan dan progress (dari semasa ke semasa),” katanya.
Terdahulu, Suffian berkata, kejadian dipercayai berlaku dalam pukul 2.30 pagi tadi dengan pihak polis sudah meminta bantuan pihak bomba untuk melakukan penialain.
Katanya, pihak bomba melancarkan gerakan mencari dan menyelamat pada pukul 3.30 pagi.
“Dalam lingkungan pukul 3.30 antara 4 pagi, (anggota penyelamat) bawa keluar lebih kurang 23 mangsa dan satu kanak-kanak dipercayai telah meninggal dunia,” katanya. – UTUSAN