Tanah runtuh: Dentuman kuat kejutkan penduduk

Tanah runtuh: Dentuman kuat kejutkan penduduk

KEADAAN rumah setelah kejadian tanah runtuh akibat hujan lebat di Taman Halaman, Ampang. - UTUSAN/SADDAM YUSOFF
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

AMPANG: Penduduk Taman Halaman, Ampang di sini tidak menyangka bunyi dentuman yang  rupa-rupanya runtuhan tanah dari cerun di bahagian belakang rumah kawasan berkenaan.

Menceritakan mengenai kejadian, Khamis Idris, 74 berkata, sewaktu runtuhan tanah itu berlaku, dia berada di luar rumah untuk membersihkan longkang.

Bagaimanapun, katanya, beberapa minit selepas hujan lebat bertukar renyai, berlaku pergerakan tanah di belakang rumah jirannya.

“Ini adalah kejadian kali kedua selepas kejadian pertama berlaku melibatkan rumah saya sendiri pada 15 November lalu.

“Nasib baik, dalam kejadian kali kedua ini rumah saya tidak terjejas memandangkan kerja-kerja penyelenggaraan cerun sedang dilakukan ketika ini,” katanya yang mengosongkan kediamannya sejak tiga minggu lalu.

Seorang lagi mangsa, Lai Yow Sun, 73, berkata, kediaman yang didiaminya sejak 30 tahun lalu paling terjejas teruk.

Kata Yow Sun, ketika kejadian itu, dua cucunya berusia 13 dan 16 tahun berada di dalam rumah sebelum mereka terdengar bunyi dentuman dari arah belakang.

“Ketika itu, saya baru sahaja keluar rumah untuk mengambil seorang lagi cucu berusia 10 tahun pulang daripada tempat tuisyen.

“Tiba-tiba saya dapat panggilan daripada menantu memaklumkan tanah runtuh sehingga menyebabkan dinding dapur rumah kami pecah,” ujarnya.

Dalam pada itu, Yow Sun turut meluahkan rasa bersyukur, runtuhan tanah daripada bukit itu hanya menenggelamkan sebahagian belakang rumahnya.

“Nasib ketika itu, cucu-cucu saya berada di dalam bilik di tingkat 2 rumah kami,” katanya.

Kejadian berkenaan menyebabkan rumahnya di bahagian belakang dan tepi ditimbun pasir, pokok serta batu yang menggelungsur.

Tinjauan Utusan Malaysia di lokasi kejadian mendapati, penduduk yang terjejas akibat runtuhan tanah di Taman Halaman kelmarin mula mengosongkan kediaman mereka selepas diminta berbuat demikian atas faktor keselamatan.

Utusan Malaysia difahamkan, penduduk yang berpindah menumpang sementara di rumah saudara-mara mereka.

Terdahulu, Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Farouk Eshak berkata, penghuni tiga buah rumah di Taman Halaman diarah mengosongkan kediaman mereka kerana dikhuatiri berlaku pergerakan tanah susulan hujan lebat berterusan di lokasi kejadian tanah runtuh itu sejak semalam.

Jelasnya, penghuni di kawasan terlibat telah berpindah namun terdapat beberapa individu enggan berbuat demikian walaupun dinasihatkan oleh pihak berkuasa dengan memberi alasan tidak wajar.

Katanya arahan mengosongkan kediaman itu dikeluarkan bagi memastikan keselamatan penduduk terpelihara.

Polis juga telah membuat kawalan di kawasan sekitar dengan meletakkan sebuah van balai polis bergerak selain mendirikan pusat kawalan tempat kejadian bersama Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia, Jabatan Pertahanan Awam Malaysia dan Majlis Perbandaran Ampang Jaya.

Dalam kejadian pukul 6 petang kelmarin, seorang wanita warga emas antara enam individu yang terselamat dalam insiden tanah runtuh berketinggian sembilan meter di Taman Halaman.

Daripada dua buah rumah yang terlibat hanya sebuah rumah yang berpenghuni dan tiada kemalangan jiwa dilaporkan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya