KUALA LUMPUR: Pengacara MeleTOP, Hawa Rizwana memohon maaf susulan penampilannya yang menimbulkan kontroversi ketika menghadiri sebuah acara, baru-baru ini.
Pemilik nama sebenar, Hawa Rizwana Ahmad Redzuan itu berkata, dia tidak menyangka penampilannya berseluar ketat membuat banyak pihak tersinggung kerana dikatakan tidak bersesuaian dengan imejnya yang berhijab.
“Pakaian yang saya gayakan pada majlis itu sebenarnya agak labuh. Mungkin gambar yang saya muat naik di media sosial menampakkan sisi tidak sesuai sehingga membuatkan penampilan saya kelihatan tidak selari dengan imej berhijab.
“Saya rasa tidak sedap hati apabila cara pemakaian saya tidak disenangi. Selepas ini, saya akan lebih berhati-hati,” katanya kepada Utusan Malaysia ketika ditemui pada majlis pelancaran koleksi Rizman Ruzaini Cruise, di sini, petang tadi.
Mengambil iktibar daripada isu berkenaan, Hawa berkata, dia bersikap terbuka terhadap teguran dan akan lebih berhati-hati dalam pemilihan berpakaian pada masa akan datang.
“Saya tidak berniat menyinggung perasaan mana-mana pihak. Saya ambil positif setiap teguran yang diberikan.
“Selepas ini, saya akan lebih berhati-hati sebelum berkongsi apa-apa kandungan di media sosial,” katanya lagi.