PETALING JAYA: Biarpun usaha mencari dan menyelamat sembilan lagi mangsa yang tertimbus dalam runtuhan cerun di tapak perkhemahan di Father’s Organic Farm, Batang Kali dekat sini menemukan jalan buntu, pasukan penyelamat tidak patah semangat dan terus mempertingkatkan pencarian.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Selangor, Datuk Norazam Khamis berkata, beliau dan pasukannya sentiasa berfikiran positif bagi memastikan misi pencarian ini dapat diselesaikan dengan segera walaupun perlu berdepan dengan cuaca yang tidak menentu.
Menurutnya, bagi SAR hari keempat semalam, peranti canggih, Ground Penetrating Radar (GPR), akan ditambah untuk mengesan baki sembilan mangsa masih hilang.
“Kita akan tambah lagi peranti GPR bagi pencarian hari ini memandangkan ada agensi turun padang menyumbang peralatan itu.
“Radius pencarian kita adalah 150 meter di sekitar kawasan sektor A, B dan C kawasan berkenaan memandangkan proses penggalian tanah menggunakan jentera berat hampir selesai,” katanya ketika dihubungi semalam.
Untuk rekod, peralatan GPR adalah kali pertama alat mudah alih terbabit digunakan dalam operasi SAR bencana sedemikian di Malaysia, dan ia boleh menembusi tanah hingga sedalam lima meter (m) untuk tujuan pengesanan.
Utusan Malaysia semalam melaporkan pasukan penyelamat berada dalam situasi terdesak dan perlu mengejar masa untuk mencari sembilan lagi mangsa.
Ini kerana, misi SAR berkenaan perlu dipercepatkan ekoran keadaan cuaca hujan yang dibimbangi akan menyebabkan tanah di kawasan runtuhan cerun itu lembut seterusnya berlaku kelongsoran tanah.
Menerusi pencarian hari ketiga semalam, sebanyak lapan jengkaut jenis long arm excavator digunakan bagi mengorek dan mengalihkan timbunan tanah sedalam 1.5 hingga 6 meter.
Setakat 6 petang kelmarin, sejumlah 24 maut dalam tragedi berkenaan. Mangsa ke-24 ialah kanak-kanak perempuan.
Mangsa ke-22 dan ke-23 pula ialah seorang ibu dan kanak-kanak lelaki yang ditemukan kira-kira pukul 1.30 petang semalam manakala sembilan lagi mangsa dilaporkan masih hilang.-UTUSAN