PETALING JAYA: Sebarang penambahbaikan ke atas struktur operasi dan fungsi Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV) adalah tertakluk kepada bidang kuasa Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan.
Menerusi kenyataan jabatan itu, sebarang penempatan juga adalah melalui Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA).
“Jabatan Perkhidmatan Veterinar aktif mengadakan sesi libat urus dengan pihak berkepentingan tidak kira pemain industri ternakan atau penternak kecil.
“Sesi libat urus ini bagi memastikan kesemua pihak sentiasa cakna dengan keperluan dan perkembangan semasa dalam sektor ternakan sebagai usaha untuk memenuhi keperluan rakyat negara ini,” katanya.
Dalam pada itu, jabatan itu sentiasa melaksanakan pelbagai penyelidikan dalam membangunkan teknologi dan kaedah terkini dalam bidang kesihatan haiwan, zoonosis (penyakit haiwan berjangkit kepada manusia), kesihatan awam veterinar dan sistem pengeluaran makanan.
Katanya, tugasan itu didukung oleh pegawai penyelidik daripada pelbagai latar belakang pendidikan seperti Ijazah Sains Haiwan, Pertanian (Sains Ternakan), Genetik, Molekular, Alam Sekitar, Biokimia, Mikrobiologi, Parasitologi, Agronomi, Teknologi Maklumat dan Perangkaan.
“Jabatan turut komited memberi bantuan dari segi khidmat nasihat serta melalui skim-skim tertentu kepada para penternak di seluruh negara bagi memastikan keberhasilan serta kejayaan pengeluaran ternakan dalam negara,” katanya. – UTUSAN