SEREMBAN: Hanya dapat menyiapkan tugasan pengajiannya di dalam kereta ketika perlu membawa ibunya yang menghidap kanser mendapatkan rawatan di hospital merupakan cabaran yang dihadapi penerima Anugerah Pelajaran Diraja (Pingat Jaya Cemerlang) sempena Majlis Konvokesyen Ke-20, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Syed Firdaus Iqmal Syed Zahir, 23.
Graduan Ijazah Sarjana Muda Perbankan dan Kewangan Islam dari Fakulti Ekonomi dan Muamalat USIM itu berkata, ibunya, Sharifah Hanizah Syed Sahab, 46, sakit sejak Februari 2021 dan menerima rawatan di Hospital Tuanku Ja’afar di sini dan Institut Kanser Negara di Putrajaya.
“Pada waktu itu saya berada di tahun tiga dan ibu disahkan menghidap barah payudara dan perlu berulang alik mendapatkan rawatan.
“Jadi saya perlu menyiapkan segala tugasan dan mengikuti kelas dalam talian kadang kala di dalam kereta dan perpustakaan yang terdapat di Institut Kanser Negara sementara menunggu ibu mendapatkan rawatan kemoterapi.
“Alhamdulillah, segala cabaran yang saya hadapi dibalas apabila saya mendapat Anugerah Dekan selama lapan semester berturut-turut dan menerima Purata Nilai Gred Kumulatif 3.81. Saya anggap ini keberkatan saya menjaga ibu dan saya hadiahkan anugerah ini untuk ibu saya,” katanya.
Dia ditemui pemberita selepas Majlis Konvokesyen Ke-20 USIM bagi sidang satu di Dewan Tuanku Canselor, USIM, Nilai hari ini.
Anugerah disampaikan oleh Canselor USIM, Tunku Ampuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Aishah Rohani Almarhum Tengku Besar Mahmud.
Kejayaan itu melayakkan Syed Firdaus menerima hadiah wang tunai RM7,500 sijil watikah dan pingat.
Dia kini bekerja di sebuah bank di Bukit Jelutong, Shah Alam, Selangor selain menyambung pelajaran di peringkat sarjana dalam bidang perbankan di International Centre for Education in Islamic Finance (Inceif) menerusi tajaan Bank Negara Malaysia.
“Setiap hari saya akan bangun seawal pukul 6 pagi untuk menghantar ibu mendapatkan rawatan. Saya hanya fokus mengulang kaji pelajaran atau mengikuti kelas apabila ibu sudah memasuki tempat rawatan.
“Saya sering meminta ibu agar selalu mendoakan saya supaya dipermudahkan urusan untuk menuntut ilmu. Ibu juga sudah beransur sihat dan akan kembali bekerja pada tahun hadapan selepas bercuti selama setahun,” katanya. – UTUSAN