KUALA NERUS : Cemerlang dalam akademik, mempunyai bakat kepimpinan dan aktif dengan kelab kokurikulum melayakkan Muhamad Syauqi Jafree, 26, menerima Anugerah Pelajaran Diraja (Bumiputera) pada Majlis Konvokesyen Universiti Malaysia Terengganu (UMT) Kali Ke-20 di sini, hari ini.
Graduan Sarjana Muda Sains Komputer dengan Informatika Maritim, Fakulti Teknologi Kejuruteraan Kelautan dan Informatik UMT itu menerima anugerah tersebut yang disampaikan oleh Canselor UMT, Sultanah Terengganu, Sultanah Nur Zahirah.
Kejayaan itu melayakkan Muhamad Syauqi menerima hadiah wang tunai RM7,500, sijil dan pingat.
Muhamad Syauqi berkata, anugerah itu adalah satu motivasi dan hadiah berharga buat kedua ibu bapanya yang telah banyak berkorban selama ini.
“Ayah saya, Jafree Mat Husin, 56, adalah seorang petani dan beliau banyak melakukan kerja-kerja kampung yang lain untuk membesarkan saya sembilan beradik manakala ibu, Hasnah Abdullah, 56, adalah suri rumah.
“Sekarang saya bekerja sebagai jurutera aplikasi sistem di sebuah syarikat di Cyberjaya untuk membantu ibu bapa dan adik-adik yang masih bersekolah,” katanya kepada ditemui pemberita di sini, hari ini.
Beliau yang mendapat Purata Nilai Gred Kumulatif 3.70 juga pernah merangkul Anugerah Sijil Kepujian Dekan selama enam semester berturut-turut sekaligus pernah menjadi penunjuk ajar sambilan bagi kursus Komputeran loT di UMT.
Beliau turut menasihatkan para graduan agar bergiat aktif dalam badan beruniform serta misi kemanusiaan supaya dapat membantu golongan masyarakat yang memerlukan.
“Saya aktif dalam Kor Siswa Siswi Pertahanan Awam (Kor SISPA) dan ditauliahkan sebagai Leftenan Muda (PA) oleh Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM).
“Bergelar pelajar, tidak bermaksud hanya menghadap buku sahaja sebaliknya banyak aspek perlu diberi tumpuan agar kita seimbang akademik dan sahsiah diri,” katanya.
Selain Muhammad Syauqi, turut mendapat anugerah sama bagi kategori bukan Bumiputera ialah Hoe Wei Ling, 24 iaitu graduan Sarjana Muda Sains Makanan (Perkhidmatan Makanan dan Pemakanan) yang berasal dari Tangkak, Johor. – UTUSAN