MELAKA: Prestasi buruk Barisan Nasional (BN) tewas semua kerusi Parlimen di negeri ini pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) memberi isyarat jelas bahawa Melaka bukan lagi kubu kuat gabungan tersebut.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, bekas pemimpin UMNO, Datuk Seri Idris Haron berkata, antara faktor kekalahan BN adalah kerana sikap terlebih yakin untuk menang, selain dilihat tidak sensitif terhadap isu tempatan terutamanya soal peletakan calon.
Jelas beliau, kemenangan besar dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka langsung tidak relevan dijadikan ukuran, memandangkan peratusan jumlah keluar mengundi adalah rendah iaitu sekitar 60 peratus.
“Parti itu yakin berada di landasan kemenangan selepas beberapa kejayaan dalam pilihan raya kecil (PRK) seperti di Cameron Highlands, Rembau, Tanjung Piai dan Semenyih. BN Melaka mesti melihat pada fakta dan angka PRN yang sebenarnya tidak memihak kepada mereka.
“Contohnya jika dijumlahkan undi diraih Pakatan Harapan (PH) dan Perikatan Nasional (PN), BN cuma menang tujuh kerusi manakala PN bersama PH menang 19 kerusi. BN hanya mendapat 26 peratus sokongan berbanding 55 peratus undi popular PH. Jumlah penolakan rakyat jauh lebih besar berbanding penerimaan. Maka sukar untuk BN mempertahan penguasaannya di Melaka pada masa hadapan,” katanya ketika dihubungi.
BN tewas semua kerusi Parlimen di Melaka termasuk kerusi yang dimenanginya pada PRU14 iaitu Jasin dan Masjid Tanah.
PN melalui penyandang kerusi, Datuk Mas Ermieyati Samsudin berjaya mempertahan Masjid Tanah, selain mencipta kejutan dengan memenangi Jasin dan Tangga Batu melalui Pesuruhjaya Pas Melaka, Zulkifli Ismail dan Timbalan Pesuruhjaya Pas Melaka, Bakri Jamaluddin.
PH yang mencalonkan bekas Ketua Menteri Melaka, Adly Zahari turut merampas Alor Gajah di samping mengekalkan Hang Tuah Jaya dan Kota Melaka dengan majoriti besar.
Dalam pada itu, mengulas kerjasama PH dengan BN di peringkat Persekutuan, Idris berkata, tindakannya bersama tiga lagi Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) menarik sokongan terhadap Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Sulaiman Md. Ali pada Oktober tahun lalu adalah kerana mahu membawa semangat berkenaan.
Katanya, beberapa siri pertemuan dengan Pengerusi PH, Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika itu memberi keyakinan bahawa kerajaan perpaduan boleh diwujudkan dan berfungsi dengan baik.
“Namun, hasrat itu tergendala apabila Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka dibubarkan secara mengejut dan drastik. Apa yang berlaku di Pahang dan Perak ketika ini sebenarnya, adalah apa yang sepatutnya berlaku di Melaka setahun yang lalu.
“Saya pernah memberi ulasan bahawa Zahid (Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi) perlu berani ketengahkan idea jajaran baharu. Hari ini ia telah berlaku dan saya yakin akan ada perpecahan dalam UMNO disebabkan perbezaan ideologi jajaran baharu dan ‘No Anwar, No DAP’,” jelasnya. – UTUSAN