TIDAK keterlaluan jika ada yang mengatakan, tahun 2022 adalah tahun emas untuk Elly Mazlein. Namanya sentiasa berlegar dalam kalendar seni. Dari lakonan, pengacaraan dan nyanyian, semua dia sapu.
Namun itu harus dibayar dengan komitmen masa dan kesibukan luar biasa. Bukan sesuatu yang mudah untuk ditempuh terutama bagi seorang wanita bergelar anak, isteri dan ibu kepada dua orang cahaya mata.
Lantas ada yang mula berbisik, sibuk sangat bekerja, suami tak marah ke? Tak merajukkah? Siang malam keluar bekerja, apa ada masa untuk keluarga? Laju sahaja segelintir warganet memulakan cerita.
Apatah lagi, ‘kemeriahan’ tawaran sana-sini yang diterima pelakon Kampung People itu didakwa mengundang hasad dengki segelintir pihak? Benarkah?
Jawablah mendapatkan Elly Mazlein. Kak Lina, jawab please!
J: Perjalanan Kak Lina untuk ke tahap sekarang bukan mudah. Pernah hilang dari radar seni dan bangkit semula sehingga sepopular ini. Ada jalan pintas ke? Ada kabel ke?
E: Awas ya tanya ada kabel ke? Kita tak main kabel dik, kita terus pacak tiang! Tak adalah. Bagi saya, ini kerja Tuhan. Ketika saya tiada apa-apa, saya serahkan segalanya pada-Nya. Saya hanya mampu buat sehabis daya.
Selebihnya, rezeki itu datang dari Tuhan. Ini juga bukan kejayaan seorang diri ya. Ramai individu di belakang tabir yang tidak pernah putus bantu serta menyokong saya. Itu bukan kabel ya!
Nak bangkit itu dik, bukan satu perkara yang mudah. Lebih banyak pahit daripada manis yang kena telan. Sukar tetapi pulangannya manis dik. Itulah namanya kesabaran.
J: 2022, tahun emas untuk Kak Lina. Tawaran back to back. Setiap stesen televisyen ada sahaja wajah Kak Lina. Berlakon, mengacara, menyanyi semua sapu. Tahun depan lebih sibuk?
E: Jadual Kak Lina sampai hujung tahun 2023 dah siap dik! Alhamdulillah, rezeki kan. Saya tak kisah, berlakon ke mengacara ke atau menyanyi, semua itu sumber pendapatan. Terima dan susun sebaiknya.
Tetapi tahun hadapan, saya akan memperlahankan karier lakonan. Ada terima, cuma satu dua karya sahaja. Saya lebih fokus pengacaraan dan insya-Allah, saya akan melancarkan sebuah single baharu. Sedang cari material sebenarnya. Album? Belum lagi.
J: Kita tengok jadual Kak Lina, memang sibuk sepanjang tahun. Sampai ada yang bertanya, ada masa untuk keluarga ke? Suami tak merajuk ke?
E: Soalan dia pun! Awas ya. Setakat ini tak merajuk pun. Suami saya okay sahaja. Saya selalu bekerja dari Januari sehingga November. Disember saya akan ambil cuti dan fokus dengan keluarga.
Kalau ada tawaran pun, saya akan pastikan tidak menganggu percutian atau rehat bersama keluarga. Saya sedar tanggungjawab sebagai anak, isteri dan ibu. Kena pandai bahagi masa. Saya bukan robot.
J: Kak Lina sentiasa menjadi umpatan segelintir warganet. Hal rumah tangga pun boleh dijadikan persoalan sehingga jadi fitnah dan mencetuskan kontroversi. Sentap tak?
E: Tak kisah sebenarnya. Saya tahu suami dan anak-anak saya bagaimana. Tetapi seronok tau jadi tembok, macam saya. Tak kisah apa orang cakap. Tegak, kukuh di situ. Kena kuat semangat lah.
Saya cuma pentingkan peminat yang menyokong. Kalau setakat sehelai dua yang dengki, sengaja tabur fitnah, lantakkan mereka. Tak penting pun. Saya ini tak ambil tahu hal orang. Hal sendiri pun tak habis fikir dik.
J: Lari sedikit soalan. Bila dua peserta Gegar Vaganza 9, Fuad dan Tom mengaku bercinta, Kak Lina sebagai ‘guru AJK’ dapat hidu tak hubungan itu?
E: Ala ini dah masuk cerita orang lain! (ketawa) Sebenarnya, saya ini tak ambil tahu pun. Pergi kerja, balik. Tetapi kita doa yang baik-baik. Setiap manusia perlukan kebahagiaan. Dan Malaysia juga perlukan cerita hiburan kan? Enjoy!