Suami isteri sebak terima skrol arwah anak - Utusan Malaysia

Suami isteri sebak terima skrol arwah anak

KAMARUDDIN Najib dan Azizah Osman menunjukkan skrol serta gambar Allahyarham Fatin Nabila pada majlis Konvokesyen UMT Ke-20 di Kuala Nerus, Terengganu, hari ini. - UTUSAN/KAMALIZA KAMARUDDIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA NERUS : Sepasang suami isteri sebak ketika naik ke pentas utama untuk menerima ijazah secara ‘anumerta’ bagi pihak arwah anak mereka pada Majlis Konvokesyen Universiti Malaysia Terengganu (UMT) Ke-20 di sini, hari ini.

Kamaruddin Najib, 68, dan Azizah Osman, 65, mewakili Allahyarham Fatin Nabila Kamaruddin yang menghembuskan nafas terakhirnya pada 5 September tahun lalu akibat kanser darah.

Allahyarham adalah penuntut yang cemerlang bagi program Sarjana Muda Perakaunan di Fakulti Pengajian Ekonomi dan Pembangunan Sosial (FPEPS) di UMT.

Menurut Kamaruddin, hanya Allah yang tahu betapa pilu hatinya ketika menjejakkan kaki ke kampus UMT semalam.

“Sangat sedih bila terkenangkan memori manis kami sekeluarga ketika hari pendaftaran Fatin Nabila beberapa tahun dahulu.

“Sepatutnya, hari ini kami yang melihat dia naik ke pentas untuk terima skrol ijazah bersama-sama kawan-kawan yang lain.

“Tapi, kami pula yang naik ke pentas bagi pihaknya. Terima kasih atas sokongan yang diberi dari seluruh warga UMT buat kami sekeluarga,” katanya ketika ditemui pemberita di sini, hari ini.

Kamaruddin memberita, mereka yang tinggal di Perak mengakui agak berbelah bahagi mahu datang ke majlis konvokesyen tersebut kerana memikirkan keadaan kesihatan untuk menempuh perjalanan yang agak jauh.

“Bagaimanapun, kami gagahkan diri untuk menghadiri majlis selepas menerima jemputan daripada pihak UMT.

“Apatah lagi setelah memikirkan ini adalah kenangan terakhir yang arwah tinggalkan, saya dan isteri sangat menghargai momen ini, tidak akan kami lupakan sepanjang hayat.

“UMT sangat banyak membantu kami. Setiap urusan dan permasalahan diuruskan dengan cepat. Kebajikan Arwah Fatin Nabila turut disalurkan tanpa banyak soal.

“Pengurusan tertinggi UMT juga datang menyantuni arwah ketika sedang dalam rawatan di hospital serta memberi kebenaran untuk arwah menjalani peperiksaan semester di hospital,” katanya.

Seramai 1,601 graduan terdiri daripada 171 graduan pasca siswazah, 1,297 graduan Sarjana Muda dan 133 graduan Diploma diraikan dalam majlis konvokesyen yang berlangsung selama dua hari bermula semalam. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya