PUTRAJAYA: Sebuah stor sisa pukal dan penyelenggaraan di aras bawah bangunan Kementerian Kewangan (MOF) di Presint 2, di sini, musnah dalam kebakaran, petang tadi.
Perkara itu disahkan Pusat Gerakan Operasi (PGO), Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Putrajaya menerusi kenyataan, hari ini.
Bagaimanapun, kejadian pukul 2.30 petang itu tidak membabitkan kemalangan jiwa.
Menurut PGO JBPM Putrajaya, kejadian itu disedari seorang kakitangan MOF yang berada di ruang letak kereta aras berkenaan selepas melihat api di stor berkenaan.
“Kebakaran turut dikesan oleh Sistem Pepasangan Keselamatan Kebakaran (PKK) bangunan berkenaan yang menyebabkan penggera amaran kebakaran berbunyi.
“Kami difahamkan, pasukan tindakan kecemasan (ERT) bangunan berjaya mengawal kebakaran dari merebak ke stor bersebelahan menggunakan lapan unit alat pemadam api jenis debu kering.
“Sejurus tiba di lokasi kejadian, pasukan kami mengambil alih dan meneruskan aktiviti pemadaman sehingga api padam sepenuhnya,” katanya.
Katanya, kebakaran turut menyebabkan ruangan tersebut dipenuhi asap tebal dan pihaknya terpaksa menggunakan ‘extractor fan’
bagi mengeluarkan asap.
Jelasnya lagi, pasukan sama turut melaksanakan tindakan perlu bagi memastikan tiada lagi sumber api yang mungkin wujud di tempat kejadian sebelum menamatkan operasi.
Pada masa sama, katanya Bahagian Penyiasatan Kebakaran JBPM Putrajaya dan Unit Pengesan K9 sedang melaksanakan siasatan bagi mengenal pasti sumber nyalaan (SN) dan punca kebakaran serta anggaran kerugian. – UTUSAN