Status Malaysia 'Kawasan Tempatan Jangkitan' dilanjut 30 Jun 2023

Status Malaysia ‘Kawasan Tempatan Jangkitan’ dilanjut 30 Jun 2023

PENDUDUK menerima suntikan vaksin Covid-19 di daerah Danzhai, wilayah autonomi Qiandongnan Miao dan Dong, wilayah Guizhou, barat daya China. - AFP   
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Pengisytiharan Malaysia sebagai ‘Kawasan Tempatan Jangkitan’ yang akan tamat pada 31 Disember ini akan dilanjutkan sehingga 30 Jun 2023.

Menteri Kesihatan, Dr Zaliha Mustafa berkata, lanjutan itu bagi memudahcara aktiviti pencegahan dan pengawalan penularan jangkitan Covid-19 menggunakan peruntukan di bawah P.U. (A) 83/22.

“Pelanjutan ini diwartakan pada 27 Disember lalu melalui perintah Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Pengisytiharan Kawasan Tempatan Jangkitan) (Pelanjutan Kuat Kuasa) (No.2) 2022 [P.U. (A) 397/2022],” katanya dalam kenyataan hari ini.

Zaliha berkata, individu yang mengalami Influenza (ILI) dan Jangkitan Pernafasan Akut Teruk (SARI) selain mempunyai sejarah perjalanan ke China atau kontak dengan pengembara dari China dalam tempoh 14 hari perlu menjalani ujian RTK-Ag Covid-19.

Katanya, itu antara persiapan ditetapkan KKM bagi memperkukuh siap siaga negara susulan situasi semasa dan perubahan polisi pengurusan Covid-19 di negara China.

Hasil ujian RTK-Ag Covid-19 itu, jelasnya, akan dihantar untuk penjujukan genom sekiranya positif Covid-19.

Katanya, KKM akan terus bekerjasama rapat dengan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), China serta negara-negara ASEAN demi memastikan langkah pencegahan dan kawalan yang sewajarnya dilaksanakan secara berterusan.

Zaliha berkata, secara keseluruhannya, trend pelaporan kes Covid-19 berada dalam keadaan yang terkawal di kebanyakan negara di seluruh dunia termasuk Malaysia.

Menurutnya, buat masa ini, tiada peningkatan mendadak di dalam jumlah kes Covid-19 di dalam negara termasuk kes yang memerlukan kemasukan ke hospital.

“KKM akan mempertingkatkan siap siaga bagi menghadapi sebarang kemungkinan peningkatan kes dan kematian Covid-19 seperti yang pernah dialami semasa varian Delta melanda seluruh dunia, termasuk Malaysia.

“Buat masa ini, ujian lanjut ke atas sampel positif Covid-19 masih menggunakan teknik Whole Genomic Sequencing (WGS) bagi mengesan awal kemasukan varian baharu dalam negara,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Katanya, pihaknya juga menggalakan kumpulan tertentu untuk melengkapkan dos primer atau dos penggalak yang akan ditawarkan secara walk-in di fasiliti kesihatan KKM bermula 9 Januari ini.

Jelasnya lagi, ia ditawarkan kepada pesakit kronik, warga emas berusia 60 tahun ke atas dan individu berisiko mendapat gejala teruk serta komplikasi jangkitan Covid-19.

Dalam pada itu, Zaliha berkata, KKM sentiasa mempertingkatkan kesiapsiagaan dan respon sistem perkhidmatan kesihatan awam bagi menghadapi kemungkinan peningkatan kes Covid-19 di Malaysia.

“Ia termasuk pengukuhan pengurusan Covid-19 melalui pendigitalan yang dilaksanakan dengan pendekatan FTTIS (Find, Test, Trace, Isolate and Support),” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya