KULIM: Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) melihat kemungkinan memanjangkan tempoh 60 hari untuk mengadakan pilihan raya selepas pembubaran Parlimen atau Dewan Undangan Negeri (DUN) berbanding yang diperuntukkan ketika ini.
Pengerusinya, Tan Sri Abdul Ghani Salleh berkata, perlanjutan itu bagi membolehkan pihaknya dapat melakukan persiapan sebaik mungkin ekoran jumlah pengundi yang meningkat banyak pada setiap tahun di negara ini.
“Kita akan cuba panjangkan lagi, sebab tempoh (60 hari) sekarang ini daripada dulu sehingga sekarang agak sempit dengan keadaan jumlah pengundi yang banyak, daripada 14.9 juta sebelum ini meningkat kepada 21.1 juta.
“Kita juga kena ingat pengundi berusia 18 tahun ini tiap-tiap tahun akan bertambah sebanyak setengah juta, jadi (pengundi) akan bertambah dan terus bertambah,” katanya pada sidang akhbar selepas pengumuman keputusan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) bagi Parlimen Padang Serai di Pusat Penjumlahan Rasmi Undi Dewan Kompleks Sukan Kulim Hi-Tech, di sini.
Menurut Abdul Ghani, SPR juga perlu melakukan persiapan termasuk menyediakan tempat mengundi, saluran mengundi serta petugas pilihan raya agar proses pilihan raya dapat dilaksanakan dalam keadaan selesa berikutan peningkatan jumlah pengundi berkenaan.
Sementara itu, Abdul Ghani berkata, pihaknya berharap Pilihan Raya Negeri (PRN) bagi enam negeri yang belum mengadakannya dapat dilaksanakan secara serentak bagi memudahkan urusan SPR.
“Ia akan memudahkan petugas kita, memudahkan kita membuat penyelarasan, itu yang terbaik, tapi dari segi kos sama juga,” katanya.
Ditanya waktu sesuai untuk PRN di enam negeri iaitu Kedah, Pulau Pinang, Terengganu, Kelantan, Selangor dan Negeri Sembilan diadakan, Abdul Ghani berkata, perkara itu terpulang kepada kepimpinan negeri berkenaan kerana SPR tidak mempunyai kuasa dalam hal itu.
Beliau juga menjelaskan bahawa PRN bagi enam negeri tersebut dianggarkan akan menelan belanja kira-kira RM450 juta.
Dalam pada itu, beliau berkata, proses PRU15 Parlimen Padang Serai dan DUN Tioman secara keseluruhannya berjalan lancar dengan peratusan keluar mengundi juga agak memberangsangkan.
“Secara keseluruhan saya lihat untuk PRU15 peratus keluar mengundi adalah sebanyak 74.71 peratus, ianya satu gambaran masyarakat kita mengambil tanggungjawab untuk keluar mengundi,” katanya. –UTUSAN